Khazanah tentukan nasib Malaysia Airlines - Tengku Zafrul

Nailah Huda
Oktober 5, 2020 11:21 MYT
Sebarang keputusan berhubung Malaysia Airlines Berhad dan AirAsia Berhad tertakluk kepada pemegang saham. -Gambar fail
KEMENTERIAN Kewangan memberi laluan kepada Khazanah Nasional untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines Berhad.
Jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam wawancara CNBC hari ini, keutamaan kerajaan hanya untuk memberi sokongan yang diperlukan.
Ujar beliau menerusi program Squawk Box Asia, sebarang keputusan berhubung Malaysia Airlines Berhad dan AirAsia Berhad tertakluk kepada pemegang saham masing-masing.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sokongan kepada syarikat-syarikat penerbangan tempatan harus diberikan pemegang saham.
“Kerajaan berpandangan bahawa kami tidak terlibat dalam menyelamatkan mana-mana syarikat penerbangan.
"Ia bergantung kepada pemegang saham masing-masing untuk memberi sokongan yang diperlukan.
“Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan terdapat penyambungan yang mencukupi supaya pemulihan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi negara dapat diteruskan,” kata Zafrul kepada pengacara Martin Soong dan Sri Jegarajah.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi tentang usaha kerajaan dalam menangani gelombang baharu COVID-19.
Meskipun kerajaan tidak merancang untuk mengembalikan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau yakin keluk jangkitan COVID-19 dapat diratakan sekali lagi.
#Malaysia Airlines #AirAsia #Khazanah #penerbangan #perintah kawalan pergerakan #Kementerian Kewangan #Tengku Zafrul #Menteri Kewangan #MOF #PKP #COVID-19
;