Khazanah Nasional turut terima kesan akibat pengukuhan dolar AS berbanding ringgit

Dagang News
September 22, 2022 09:30 MYT
Amirul Feisal (kanan) berkata, prestasi pelaburan pengurus dana kekayaan kerajaan itu cenderung kepada kesan penilaian di seluruh dunia dan bagaimana impak kekuatan dolar AS kepada mata wang di seluruh dunia. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit ketika ini, memberi cabaran kepada Khazanah Nasional, sekali gus 2022 menjadi tahun yang sukar dalam aspek pelaburan.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi pelaburan pengurus dana kekayaan kerajaan itu cenderung kepada kesan penilaian di seluruh dunia dan bagaimana impak kekuatan dolar AS kepada mata wang di seluruh dunia.
Menurut beliau, ia bukan sahaja mengenai dolar AS kerana anda tahu, ia juga membabitkan penilaian pelaburan lain juga dan kesan ke atas pelaburan Khazanah Nasional juga tidak dapat dielakkan di mana keadaan ini terpaksa dihadapi oleh mana-mana pengurus dana.
"Kita perlu melihat aspek kenaikan kadar faedah dan bagaimana kesan yang berlaku ke atas pelbagai ekonomi dan negara. Sudah tentu akan memberi kesan. Seperti yang saya katakan, 2022 bukan tahun mudah untuk melabur.
"Khazanah Nasional perlu membina daya tahan kewangan bagi menambah baik prestasi dan pertumbuhannya.
"Dari aspek struktur modal, kami sangat berdisiplin dalam melihat tahap hutang, tunai dan bagaimana kami memantau tempoh matang hutang atau pelbagai mata wang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum 'MIDF Conversations' yang diadakan secara maya, pada Rabu dan dikendalikan oleh Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Datuk Charon Mokhzani sebagai moderator.
Amirul Feisal berkata, Khazanah akan meneroka peluang pelaburan strategik baharu di Asia Tenggara dan India bagi mengukuhkan lagi portfolio pelaburannya di seluruh dunia.
"Pemilihan dua pasaran berpotensi itu sebagai destinasi pelaburan berpotensi baharu adalah langkah untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan, sekali gus dapat meningkatkan kehadirannya di peringkat dunia," ujar beliau.
Katanya, pasaran membangun menjadi antara destinasi pelaburan yang akan diberikan tumpuan Khazanah Nasional meskipun China tetap menjadi pilihan walaupun tidak jelas bilakah pasaran terbesar dunia itu akan dibuka sepenuhnya.
"Apa yang dilaksanakan kami adalah meninjau pelaburan strategik. Persoalan kini adalah masa, bila dan pasaran mana. Justeru, buat masa ini kami akan meninjau pasaran Asia Tenggara dan India untuk meningkatkan portfolio pelaburan Khazanah Nasional," katanya.
Amirul Feisal berkata, adalah penting untuk mempelbagaikan pelaburan di seluruh dunia bagi mengimbangi risiko sekiranya wujudnya ketidaktentuan.
"Kita tidak boleh meletakkan semua dalam satu bakul (pelaburan). Jika kita laksanakan strategi pelaburan hanya di satu tempat, apabila timbulnya krisis, ia akan memberi kesan besar kepada portfolio pelaburan.
"Justeru, Khazanah lebih cenderung meluaskan capaian pelaburan ke pelbagai pasaran. Jika satu-satu pasaran berdepan cabaran, pasaran lain akan mengimbanginya," katanya. - DagangNews.com
#Khazanah #Amirul Feisal Wan Zahir #Pengukuhan dolar Amerika Syarikat #Charon Mokhzani
;