Khazanah Nasional majukan ekosistem modal teroka nasional melalui inisiatif

Bernama
Oktober 15, 2024 05:20 MYT
Amirul Feisal berkata, NFOF akan memberi tumpuan kepada penciptaan juara tempatan di bawah EMP sambil menarik modal dan rakan kongsi antarabangsa. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd akan melancarkan program serta inisiatif melibatkan pengurus dana modal teroka (VC) di bawah "National Fund of Funds" berikutan pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital pada Julai tahun ini.
Khazanah melalui satu kenyataan berkata pelancaran Program Pengurus Dana Baru Muncul (EMP) serta Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) menggariskan komitmen NFOF untuk meningkatkan akses kepada modal bagi pemula niaga, memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
"Dengan pelancaran EMP, kami mahu memastikan pertumbuhan berterusan pengurus dana VC tempatan selain kami melihat RMI sebagai satu lagi langkah kritikal dalam komitmen kami untuk memupuk ekosistem VC yang dinamik di Malaysia.
"Memandangkan inovasi adalah tanpa sempadan, ketersediaan modal, bakat dan teknologi akan menentukan masa depan Malaysia," kata Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Beliau berkata, NFOF akan memberi tumpuan kepada penciptaan juara tempatan di bawah EMP sementara menarik modal dan rakan kongsi antarabangsa.
Ini sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan aras melalui industri digital yang diterajui inovasi selain menyokong syarikat pertumbuhan tinggi ke arah menjadi juara serantau, katanya.
Usaha ini akan membantu menggabungkan kepakaran, perspektif serta pengetahuan tempatan dan antarabangsa bagi memacu ekosistem yang bertenaga termasuk kemajuan, tambahnya lagi.
Menurut Khazanah, EMP merupakan langkah penting untuk memajukan ekosistem VC dan inovasi Malaysia memandangkan NFOF akan menaungi usaha mengumpul dana pengurus dana tempatan yang baru muncul.
Program ini memberi isyarat keyakinan yang lebih kukuh kepada bakal pelabur dana untuk melabur dalam pengurus dana yang berpotensi berdaya saing di peringkat serantau, jelasnya.
Selepas itu, ekosistem pemula niaga akan mendapat manfaat daripada pengumpulan modal persendirian serta modal lain ke dalam pengurus ini, memberi dorongan kepada pemula niaga Malaysia yang dipacu inovasi
EMP dijadualkan bermula menjelang November 2024 dan terbuka kepada semua Rakan Kongsi Am (GP) Malaysia, memfokuskan kepada pengurus dana VC yang sedang mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga mereka, berpangkalan di Malaysia atau di luar negara, katanya.
Sebaliknya, RMI mewakili inisiatif NFOF bagi menarik pengurus dana antarabangsa yang komited untuk memperkaya ekosistem termasuk menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga Malaysia agar menjadi pemain serantau dan global.
Ia juga bertujuan memudahkan penggabungan semula syarikat global di Malaysia untuk mengembangkan keupayaan pekerjaan tempatan, menarik bakat dan memperdalami inovasi.
-- BERNAMA
#Khazanah #modal teroka #pengurus dana #Amirul Feisal Wan Zahir
;