Khazanah Nasional catat untung operasi RM5.1 bilion pada 2024
Nabilah Khaleeda
Februari 5, 2025 15:00 MYT
Februari 5, 2025 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatat keuntungan operasi sebanyak RM5.1 bilion bagi tahun kewangan 2024, berbanding RM5.9 bilion pada 2023.
Ringkasan AI
- Khazanah Nasional Berhad mencatat keuntungan operasi sebanyak RM5.1 bilion pada tahun kewangan 2024, dengan nilai aset bersih meningkat kepada RM103.6 bilion.
- Prestasi kukuh pada 2024 didorong oleh peningkatan nilai pelaburan dalam pasaran domestik dan pemulihan pasaran global, serta rangka kerja Ekonomi MADANI yang memacu pertumbuhan ekonomi inklusif.
- Khazanah menubuhkan Jelawang Capital untuk mempercepat ekosistem modal teroka, melabur dalam sektor semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, serta mengumumkan dividen RM1 bilion kepada Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, nilai aset bersih (NAV) syarikat mencatatkan peningkatan ketara kepada RM103.6 bilion, meningkat sebanyak RM18.8 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, menyatakan bahawa prestasi kukuh pada 2024 didorong oleh peningkatan nilai pelaburan dalam pasaran domestik serta pemulihan dalam pasaran global.
“Prestasi positif ini juga didorong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI, yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas menunjukkan bagaimana pelaburan strategik dan amalan mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahan yang kukuh pada 2024, dengan pertumbuhan KDNK dijangka mempercepat kepada antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
“Ringgit mengukuh sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS, dan FBM KLCI mencatatkan keuntungan yang amat baik sebanyak 12.58 peratus,” katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2025 di sini, pada Rabu.
Selain itu, Pulangan Berwajaran Masa (TWRR) NAV meningkat kepada 24.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada 2023.
Tambah Amirul Feisal, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, Khazanah juga menubuhkan Jelawang Capital untuk mempercepat ekosistem modal teroka, melabur dalam sektor semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, serta memperkukuh infrastruktur menerusi pengambilalihan MAHB.
Selain itu, program sosial seperti K-Youth telah melatih 8,222 belia, manakala Yayasan Hasanah memperuntukkan RM86 juta bagi 207 projek impak.
Dalam pada itu, Khazanah turut mengumumkan dividen RM1 bilion kepada Kerajaan Malaysia, menjadikan jumlah terkumpul RM19.1 bilion sejak 2004.
Tambah beliau, Khazanah akan terus melaksanakan strategi Memajukan Malaysia, dengan tumpuan kepada pelaburan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Kami berhasrat untuk mengekalkan momentum yang kukuh dari 2024 dan memastikan pelaksanaan yang berjaya dalam usaha penciptaan nilai kami melalui strategi jangka panjang untuk Memajukan Malaysia berasaskan pendekatan ‘A Nation That Creates’.
“Ia bertujuan memajukan negara dan membina Malaysia yang lebih baik, selaras dengan rukun Ekonomi MADANI iaitu Daya Cipta,” ujarnya.