Khazanah beli Prince Court daripada Petronas

Bernama
Mac 22, 2018 23:03 MYT
Khazanah, melalui PMV memiliki 40.91 peratus saham dalam IHH Healthcare. - Foto Facebook/@PrinceCourtMC
Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd (PMV), membeli Prince Court Medical Centre (PCMC) di Kuala Lumpur daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
PMV menandatangani perjanjian jual beli saham dengan unit Petronas, Petronas Hartabina Sdn Bhd, bagi membeli 100 peratus kepentingan ekuiti syarikat berkenaan, kata dana pelaburan strategik negara itu dalam satu kenyataan.
Di bawah terma perjanjian itu, Khazanah akan membeli PCMC pada "harga yang dipersetujui setanding dengan penilaian pasaran" dibayar apabila transaksi itu dilengkapkan, yang mana dijangka menjelang akhir suku kedua 2018.
"Kami sangat gembira dengan peluang yang jarang berlaku ini untuk membeli PCMC.
"Kami melabur dalam Pantai Holdings Bhd pada 2006 dan mentransformasi platform ini menjadi apa yang dikenali sekarang sebagai IHH Healthcare Bhd, pengendali hospital yang disenarai dalam pasaran baru muncul terbesar dengan lebih 10,000 katil di 10 negara," kata Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar.
Khazanah, melalui PMV memiliki 40.91 peratus saham dalam IHH Healthcare.
Azman berkata, Khazanah menyasarkan untuk meningkatkan PCMC menjadi hospital terkemuka yang menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia untuk pelancong perubatan.
Sejajar dengan tandatangan perjanjian jual beli itu, Khazanah juga mengadakan dokumen (term sheet) untuk perjanjian kerjasama dengan IHH Healthcare hari ini bagi berkongsi perkhidmatan sokongan dan inisiatif peningkatan operasi di PCMC.
Menurut Khazanah, IHH Healthcare akan diberikan hak terhadap tawaran pertama bagi membeli PCMC sewaktu tempoh pra dipersetujui.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata syarikat minyak kebangsaan itu percaya PCMC sudah bersedia untuk fasa seterusnya pertumbuhannya dan transaksi itu akan meletakkan hospital berkenaan pada kedudukan untuk merealisasikan aspirasinya menjadi penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Asia.
-- BERNAMA
#IHH #Khazanah #PCMC #Pengarah Urusan Khazanah #Petronas #Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas #prince court #Prince Court Medical Centre #Tan Sri Azman Mokhtar #Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin
;