Khazanah batal pertemuan dengan Jentayu bincang isu MAS

Bernama
Disember 17, 2014 09:13 MYT
Pengarah Urusannya, Feriz Omar berkata, pertemuan itu dibatalkan atas permintaan Khazanah Nasional.
Pertemuan antara Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd. dan Khazanah Nasional Bhd. berhubung cadangan Jentayu untuk membeli Penerbangan Malaysia Bhd. (PMB) dan menukarkannya menjadi syarikat pajakan pesawat global telah dibatalkan.
Jentayu memberitahu media, ia sepatutnya membentangkan cadangan janji niaga bernilai RM8.75 bilionnya sebagai usaha untuk menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) yang dibebani hutang itu kepada cabang pelaburan negara tersebut pada 5 petang semalam.
Pengarah Urusannya, Feriz Omar berkata, pertemuan itu dibatalkan atas permintaan Khazanah Nasional.
"Kami kecewa kerana masa depan MAS, terutamanya nasib 6,000 pekerja dipertaruhkan," katanya kepada Bernama.
Feriz berkata, Khazanah Nasional tidak pernah memberikan peluang kepada Jentayu untuk menjelaskan cadangan tersebut.
"Sekarang, kami hanya menunggu mereka menulis secara rasmi kepada kami berhubung pembatalan itu," katanya.
Selain menjadikan PMB sebagai sebuah syarikat pajakan global, Jentayu juga merancang menubuhkan syarikat penerbangan baharu, Fly JD, yang akan menawarkan perkhidmatan ekonomi premium di ASEAN.
Kedua-dua entiti itu dijangka mengambil 6,000 pekerja yang akan diberhentikan oleh MAS dalam pelan penyusunan semulanya.
#Jentayu Danaraksa #Khazanah Nasional #MAS
;