Khairy mahu Bajet 2014 biayai 3 tumpuan kementerian

Bernama
Oktober 25, 2013 08:15 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap peruntukan menerusi Belanjawan 2014 mampu membiayai tiga aspek utama yang dititikberat oleh kementerian itu bagi meneruskan kesinambungan pembangunan belia dan sukan di negara ini.
Khairy berkata, tiga aspek berkenaan mencakupi bidang pendidikan vokasional yang melibatkan transformasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), tumpuan terhadap pembangunan belia dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.
"Pelbagai cadangan sudah saya sampaikan kepada Kementerian Kewangan tetapi saya amat berharap kerajaan dapat memberi keutamaan kepada tiga aspek ini termasuk membiayai pendidikan vokasional kerana pada hari ini, amat penting kita beri pendidikan kepada anak muda.
"Kita turut memberi tumpuan kepada soal pembangunan belia dan dalam masa yang sama juga banyak kemudahan sukan yang tidak diselenggara dengan baik perlu dibaik pulih, jadi kita berharap kementerian dapat menyalurkan peruntukan yang lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Program Latihan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Petronas-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bandar Penawar pada Khamis.
Majlis itu turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dan Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Urusniaga Hiliran Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Arriffin.
Tahun lepas, katanya, kementerian menerima peruntukan RM700 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan pengurusan kementerian.
Menyentuh transformasi IKBN, Khairy berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang, kementerian mensasarkan pertambahan pelajar daripada 10,000 kepada 15,000 pelajar untuk mengikuti pelbagai jurusan di institut itu.
"Bagi tujuan itu, kita tidak akan membina IKBN yang baru sebaliknya akan menjalankan pembelajaran dua sesi iaitu pembelajaran pagi dan petang serta menambah kemudahan lain yang sesuai selain menambah jumlah tenaga pengajar," katanya.
Pada masa kini terdapat 20 IKBN di seluruh negara dengan kapasiti purata 500 pelajar di setiap institut.
Sementara itu, katanya, sebanyak 12 pengambilan untuk kursus jangka pendek HSE telahpun dilakukan di IKBN Bandar Penawar sejak Januari lepas dengan membabitkan 542 belia daripada pelbagai latar belakang akademik dan sosio ekonomi.
Beliau berharap dengan adanya program seumpama itu mampu menyediakan lebih ramai tenaga kerja muda mahir selaras dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa di Pengerang yang merupakan kawasan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas (Rapid).
#Bajet 2014 #Belanjawan 2014 #Belia #Khairy Jamaluddin #Najib Razak #sukan
;