Keyakinan tinggi terhadap syarikat baharu MAS

Bernama
Julai 3, 2015 20:49 MYT
MAB akan bermula sebagai sebuah buku bersih pada 1 September ini.
"Ketika ini, Malaysia Airlines, yang kita kenali sejak sekian lama sedang bersiap sedia untuk mendarat yang selamat manakala Malaysia Airlines yang baharu, membuat persiapan untuk melakukan penerbangan sulungnya," kata Christoph Mueller pada awal Jun.
Mueller, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd (MAS), bersedia untuk menerajui syarikat baharu MAS, Malaysia Airline Bhd (MAB), apabila syarikat penerbangan itu bermula pada 1 Sept ini.
Walaupun ada yang melihatnya sebagai tidak lebih daripada perubahan dalam nama syarikat, sebenarnya MAB yang baharu diwujudkan itu adalah sebahagian daripada jentera lebih rumit, bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada syarikat penerbangan negara -- bermula dengan rekod yang bersih -- tiada lagi kerugian besar, perjanjian pembekal berat sebelah dan peraturan kerja terhad.
MAB akan bermula sebagai sebuah buku bersih.
Meskipun MAS diselubungi perkara negatif sejak beberapa dekad lalu dan diburukkan lagi oleh dua tragedi pada 2014, satu kejutan yang menyenangkan diterima MAB apabila mendapat 98 peratus undi percaya daripada 14,000 pekerja yang telah ditawarkan pekerjaan baru untuk menyertai syarikat baharu MAS.
Mereka yang mempunyai jaringan keselamatan selepas menerima pakej pampasan yang pelbagai dari RM300,000 hingga RM500,000 seperti yang dilaporkan, seseorang akan berfikir mereka akan meninjau ke tempat lain untuk mencari rezeki baharu.
Namun, 98 peratus yang menerima tawaran untuk bekerja di MAB semestinya telah melihat MAS baharu dan mahu menjadi sebahagian daripada syarikat penerbangan nasional yang membina semula kedudukannya.
Jika pekerja tidak yakin terhadap MAB, tentunya kurang daripada 50 peratus yang akan menerimanya, tetapi sebaliknya 98 peratus merasakan mereka boleh menyumbang secara positif kepada entiti baharu ini.
Dari sini, apa yang dapat dilihat ialah orang yang paling penting, pekerja yang akan menerajui MAB yakin syarikat penerbangan negara ini boleh meraih keuntungan pada tahun 2018 seperti yang diunjurkan.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa syarikat penerbangan ialah 'perniagaan perkhidmatan' dan bukan 'perniagaan pengangkutan' -- maka faktor manusia adalah penting kerana kakitangan merupakan orang yang menyampaikan perkhidmatan.
Pengumuman pelantikan pengurusan baharu beberapa minggu lepas pastinya menjadi petanda baik bagi MAB.
MAB akan menerima Peter Bellew sebagai Ketua Pegawai Operasi, Faridah Hashim sebagai Ketua Komunikasi Korporat, Laurent Recoura sebagai Ketua Jualan dan Datuk Sabrina Albakry Abu Bakar sebagai Setiausaha Syarikat.
Lebih banyak pelantikan dalam MAB dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang yang meningkatkan lagi keyakinan dalam syarikat penerbangan itu.
Juga dengan pengiktirafan bakat dalaman dengan pelantikan Mohd Nadziruddin Mohd Basri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd, MAB Ground Handling Services Sdn Bhd.
Mueller sebelum ini telah menyatakan bahawa syarikat penerbangan baharu itu akan mempunyai tiga bahagian - operasi, fungsi sokongan, serta pembelajaran dan pembangunan. Akan terdapat 12 anak syarikat dengan Petunjuk Prestasi Utama sendiri (KPI).
Pendekatan ini bertujuan untuk bergerak daripada MAS lama yang kurang budaya prestasi.
Bagi 98 peratus yang akan memasuki MAB, mereka bakal menyaksikan perubahan besar daripada MAS sebelum ini, dan dengan menerima tawaran kerja ini, ia adalah petunjuk positif bahawa mereka bersedia untuk memahami perubahan ini.
"Ia mungkin bukan syarikat permulaan, tetapi akan menjadi seperti sebuah syarikat baharu dengan segala-galanya baharu, pihak berkepentingan baharu. Malah segala-galanya akan menjadi baharu. Kami telah memohon sijil syarikat penerbangan baharu, kami telah meminta IATA (Persatuan Pengangkutan Udara
Antarabangsa) untuk memindahkan kod MH," kata Mueller.
Ini bermakna 'perubahan besar' sedang disediakan dan proses Malaysia Airlines yang baharu telah bermula, dan dengan itu menyelamatkan syarikat penerbangan dan maruah Malaysia.
Penghargaan juga harus diberikan kepada Perdana Menteri yang membuat keputusan untuk sedia menerima meskipun tidak menyenangkan terhadap MAS dan merombak keseluruhan syarikat penerbangan itu, kemudian meletakkan Khazanah Nasional untuk memacu dengan pelan yang sama sekali baharu dan menyuntik dana baharu sebanyak RM6 bilion.
Mereka kemudian meninjau di seluruh dunia, mencari orang yang layak menerajui MAS, membawa kepada keputusan untuk mengambil Mueller.
Pelantikan Mueller, kelahiran Jerman, adalah satu perubahan besar kerana suatu kelainan yang sebelum ini hanya meletakkan warga Malaysia untuk menerajui syarikat penerbangan nasional atau aset utama negara.
Hanya Mueller tahu cabaran dan tugas yang dipikul beliau dan pasukannya serta harapan seluruh negara terhadap apa yang pasti 'panggilan terakhir' untuk MAS.
Dianggap sebagai penyusunan semula paling utama apabila rancangan 12 perkara Khazanah diumumkan pada Ogos lepas, kali ini menyaksikan kemunculan sebuah perniagaan entiti baharu, MAB.
Bermula dengan entiti kecil, Mueller dan pasukan MAB kini sibuk mempersiapkan pelan perniagaan sebagaimana yang dapat dilihat daripada pengumuman -- mencari pesawat lebih kecil, mengurangkan laluan yang tidak menguntungkan, rundingan semula kontrak serta menaik taraf infrastruktur IT syarikat penerbangan itu untuk meletakkan MAB pada platform menguntungkan dan mampan.
Seperti yang disebutkan Mueller, beliau memerlukan kerjasama, bukan sahaja kakitangan untuk bekerja bersama-sama beliau tetapi juga atau Khazanah, kerajaan Malaysia dan rakyat supaya syarikat penerbangan negara sekali lagi akan 'terbang tinggi di langit biru'.
Kenyataan Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Bahagian Sarawak Andrew Lo, tepat semasa membuat kesimpulan apabila berkata: "MAS kepunyaan semua rakyat Malaysia dan saya percaya kita semua merasa bangga dengan syarikat penerbangan nasional ini dan kita mahu melihat MAS terbang dengan bangganya sekali lagi."
Dan kepada 98 peratus daripada 14,000 pekerja yang akan bersama MAS, inilah pesanan daripada Lim Swee Seng, Setiausaha Kesatuan Pekerja Penerbangan (Sarawak) kepada semua kakitangan MAB: "Mari kita bekerja bersama-sama dan membuka lembaran baru."
#Christoph Mueller #Malaysia Airlines #MAS
;