Kewangan TNB perlu kukuh, bantu usaha kerajaan pulih ekonomi, kata Pengerusi

Dagang News
Oktober 6, 2021 19:54 MYT
TNB akan terus mendukung pertumbuhan dan usaha pemulihan ekonomi negara menerusi bekalan elektrik berdaya harap, mencorak semula ekonomi melalui inisiatif transformasi industri tenaga dan membantu golongan sasaran yang memerlukan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan terus menyeimbangkan kepentingan industri dan peranannya sebagai syarikat tersenarai yang memberikan pulangan setimpal kepada rakyat menerusi institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), menurut Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin.
Beliau merujuk keupayaan TNB memberikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada para pelabur termasuk GLIC, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd.
“Kita bertanggungjawab kepada para pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada instituisi-institusi pelabur yang pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.
“Bagi tempoh 2018 hingga 2020, TNB telah membayar dividen berjumlah RM9.9 billion kepada para pemegang sahamnya dan RM7 billion lagi kepada GLIC.
"Ini satu jumlah besar dan memberi banyak manfaat kepada rakyat,” katanya dalam pertemuan pertamanya dengan barisan pengurusan tertinggi TNB, hari ini.
Hasan Arifin ketika diberi taklimat dalam pertemuan pertamanya dengan barisan pengurusan tertinggi TNB, hari ini.
Hasan dilantik menjadi Pengerusi TNB pada 1 Oktober lalu menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Pada pertemuan itu, beliau diberikan taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din mengenai prestasi TNB merangkumi pencapaian sepanjang lebih 72 tahun, pelaksanaan aspirasi Reimagining TNB, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), komitmen hala tuju kelestarian dan cabaran pandemik serta cabaran-cabaran baharu masa depan.
Beliau yang berpuas hati dengan peranan dan sumbangan TNB terhadap pembangungan negara, yakin kecemerlangan itu mampu diteruskan dengan Malaysia kini mempunyai infrastruktur bertaraf dunia hasil daripada pelaburan modal sistem perbekalan elektrik yang berterusan.
Menurutnya, pada masa sama, TNB akan terus mendukung pertumbuhan dan usaha pemulihan ekonomi negara menerusi bekalan elektrik berdaya harap, mencorak semula ekonomi melalui inisiatif transformasi industri tenaga dan membantu golongan sasaran yang memerlukan.
“Dalam senario ekonomi Malaysia yang masih dalam fasa pemulihan daripada cabaran wabak COVID-19, TNB perlu teguh dari segi kewangan bagi meneruskan usaha ini.
"Saya dimaklumkan, TNB merupakan antara pihak swasta terawal tampil membantu kerajaan menangani COVID-19 dan menyumbang sejumlah RM21 bilion (2018-2020) kepada ekonomi dalam pelbagai bentuk termasuk dividen, kontrak kepada vendor, cukai, zakat, CSR dan bantuan COVID-19,” katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, kedudukan kewangan TNB perlu kekal kukuh untuk membantu usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara dan memberikan pulangan yang setimpal kepada para pemegang sahamnya.

Aritkel asal ini diterbitkan di Dagangnews.com

#Tenaga Nasional Bhd #Hasan Arifin #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #khazanah nasional bhd
;