'Kewangan Islam mengurus risiko perlu dipromosi'

Astro Awani
Januari 18, 2013 15:09 MYT
Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk merancang dan mempromosi instrumen kewangan Islam yang boleh mengurus risiko.
Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah bertitah demikian memandangkan rangka kerja undang-undang instrumen kewangan Islam perlu bertindak balas dengan persekitaran yang semakin berubah.
Baginda bertitah, Malaysia diakui antara pasaran utama untuk kewangan Islam. Bagaimanapun, ia tidak bermakna Malaysia boleh terus selesa dengan pengiktirafan itu.
Sebaliknya baginda bertitah, instrumen kewangan Islam perlu dipertingkat. Raja Dr Nazrin juga yakin masa depan kewangan Islam lebih cerah, pasca krisis kewangan global yang melanda pada 2008.
Ini berdasarkan hakikat kewangan Islam menawarkan alternatif kepada kaedah kewangan konvensional.
Ia juga membantu meningkatkan jumlah pelabur yang mencari ruang bagi perniagaan yang kurang berisiko.
Raja Dr Nazrin Shah bertitah demikian ketika melancarkan buku 'Introduction to Islamic and Conventional Corporate Finance'.
Buku tersebut, yang diterbitkan Thompson Reuters, adalah hasil tulisan tujuh pakar undang-undang dan kewangan Islam.
Karya tersebut antara lain mengetenhkan pelbagai kaedah untuk sesebuah syarikat meningkatkan modal, sama ada daripada segi konvensional dan Islam.
#Introduction to Islamic and Conventional Corporate Finance #Raja Dr Nazri Shah Sultan Azlan Shah
;