Keuntungan selepas cukai Astro meningkat 24 peratus

Luqman Hariz
Mac 28, 2018 20:45 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad menyaksikan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai Dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak 24 peratus kepada RM771 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat tersebut berkata peningkatan ini didorong oleh kenaikan Keuntungan Sebelum Cukai, Faedah, Susut Nilai Dan Pelunasan (EBITDA) serta keuntungan dari tukaran mata wang asing.
Astro melaporkan peningkatan EBITDA sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun kepada RM5.53 bilion dengan Aliran Tunai Bebas dicatatkan pada RM1.36 bilion untuk tempoh yang sama.
“Landskap media pada hari ini memperlihatkan anjakan agresif menuju ke arah era digitalisasi. Pada tahun kewangan 2018, kami menggalakkan lagi fasa tranformasi dengan melengkapkan dan meningkatkan kemahiran, ketangkasan dan keupayaan kami sebagai sebuah organisasi pelanggan dan kandungan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan.
Tambah Rohana, Astro turut meneruskan usahanya untuk menjadi sebuah syarikat digital berlandaskan data dengan mengoptimumkan pelaburan, menjana keuntungan dari aset-aset media, serta menawarkan kandungan vernakular terbaik.
“Keputusan tahun lalu adalah kemuncak kepada fokus ini, kerana dalam pada pendapatan keseluruhan dilihat berada di kedudukan tertekan susulan sentimen pelanggan yang lemah dan halangan yang kompetitif, syarikat masih berjaya mencatatkan rekod keuntungan,” tambah Rohana.
Astro turut menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 7 peratus tahun ke tahun kepada 5.5 juta sementara penembusan isi rumah turut meningkat kepada 75 peratus.
“Bertentangan dengan jangkaan ramai yang merasakan ini merupakan era ‘pemotongan kord’ (‘cord-cutting’), kami lihat hubungan yang terjalin di antara Astro dan pelanggan kini lebih kukuh, merentasi setiap aset media kami; 23 juta individu dalam setiap isi rumah Astro, dan seramai 16.5 juta pendengar radio serta secara purata seramai 6.9 juta pengunjung unik (‘unique visitors’) melayari aset-aset digital Astro setiap bulan,” kata Rohana.
Syarikat itu juga mencatatkan peningkatan 2 peratus pada pendapatan pengiklanannya kepada RM722 juta, walaupun jumlah pendapatan pengiklanan di Malaysia menyusut 8 peratus bagi tempoh yang sama.
Bagi tahun kewangan 2018, syarikat itu mempunyai perkongsian pasaran sebanyak 44 peratus bagi pendapatan pengiklanan televisyen dan 74 peratus bagi pendapatan pengiklanan radio.
#Astro Malaysia Holdings Berhad #cukai #digital #Ebitda #iklan #Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti #Patami #rumah
;