Keuntungan Petronas untuk suku ketiga meningkat
Astro Awani
November 16, 2016 19:51 MYT
November 16, 2016 19:51 MYT
Keuntungan selepas cukai syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk suku ketiga yang berakhir 30 September 2016, meningkat kepada RM6.1 bilion berbanding RM1.6 bilion yang dicatatkan pada suku kedua.
Hasil pada suku ketiga turut meningkat satu peratus, atau RM0.3 bilion, dari suku sebelumnya, kepada RM48.7 bilion.
Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata prestasi untuk tempoh suku ke suku lebih baik didorong oleh penurunan kerugian susut nilai aset serta peningkatan harga purata untuk kebanyakan produk, tetapi prestasi turut diimbangi jumlah jualan yang lebih rendah untuk produk-produk utama.
Namun begitu, Petronas mencatatkan untung selepas cukai sebanyak RM12.3 bilion untuk sembilan bulan terkumpul berakhir 31 September 2016, iaitu penurunan 48 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas pada RM23.8 bilion.
"Persekitaran harga minyak dunia masih memberi cabaran kepada industri dan situasi itu dijangka terus tidak menentu.
"Menyedari prestasi 2016 akan terjejas, Petronas telah mengambil langkah-langkah responsif dengan melaksanakan kecekapan operasi dan disiplin kewangan," menurut kenyataan itu lagi.