Keuntungan bersih suku kedua UOA Development susut 16.6 peratus kepada RM45.30 juta

Bernama
Ogos 24, 2022 09:30 MYT
UOA berkata, kumpulan itu akan terus meneroka tanah pembangunan strategik yang memenuhi objektifnya. - Foto ihsan UOA
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UOA Development Bhd susut 16.6 peratus kepada RM45.30 juta dalam suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM54.35 juta yang dicatatkan tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah daripada projek sedia ada.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, pemaju hartanah itu berkata perolehan syarikat juga berkurangan kepada RM121.11 juta daripada RM216.28 juta sebelumnya.
UOA berkata hasil dan keuntungan kumpulan bagi suku tersebut dijana terutamanya daripada projek pembangunannya yang sedang dibangunkan, iaitu The Goodwood Residence, Aster Green Residence dan Laurel Residence, dan daripada jualan inventori daripada United Point Residence, Sentul Point Suite Apartments dan pangsapuri gaya hidup South Link.
Jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 Jun, 2022 berjumlah kira-kira RM250.9 juta daripada Laurel Residence, The Goodwood Residence dan United Point Residence manakala jumlah jualan belum dibil berjumlah kira-kira RM123.9 juta, katanya.
Kumpulan itu akan terus meneroka tanah pembangunan strategik yang memenuhi objektifnya, kata UOA.
-- BERNAMA
#UOA Development Bhd #keuntungan bersih #perolehan #projek pembangunan