Keuntungan bersih IHH Healthcare melonjak kepada RM550 juta

Bernama
November 29, 2021 23:41 MYT
Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd melonjak kepada RM550 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2021 berbanding RM309.95 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun sebelumnya. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd melonjak kepada RM550 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2021 berbanding RM309.95 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan menokok sebanyak 26 peratus kepada RM4.44 bilion daripada RM3.52 bilion berikutan pertumbuhan hasil di semua negara yang dijejak kumpulan itu, kata IHH dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.
"Prestasi terus meningkat apabila pesakit kembali ke rangkaian perkhidmatan hospital kami dan ketika kami terus mengutamakan sokongan COVID-19 bagi membantu kerajaan di beberapa negara yang menjadi tapak operasi kami.
"Usaha kami untuk mengoptimumkan struktur modal dan operasi telah mula membuahkan hasil," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Dr Kelvin Loh.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) IHH juga naik sebanyak 32 peratus kepada RM1.1 bilion, didorong oleh hasil yang lebih tinggi dan keuntungan penilaian ke atas hartanah pelaburan, diimbangi oleh peningkatan dalam kos kakitangan, perbelanjaan operasi lain termasuk pendapatan geran kerajaan yang lebih rendah.
Kenaikan dalam kos kakitangan adalah disebabkan oleh pengambilan pekerja kontrak untuk perkhidmatan berkaitan COVID-19, gaji doktor yang lebih tinggi untuk kumpulan doktor tertentu yang mempunyai kelas gaji berbeza-beza dengan pendapatan atau perkhidmatan yang diberikan termasuk penyediaan pasaran serta bonus bagi kakitangan.
Menurut Loh lagi, Hospital Gleneagles Hong Kong menyampaikan EBITDA positif pada suku ketiga, manakala operasi Turki dan India telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk pengembangan berterusan.
"Pertumbuhan kami dari sini akan didorong secara organik dan bukan organik. Kami juga membuat pelaburan inovasi sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju transformasi digital kami dalam merebut peluang gangguan yang akan memberikan pesakit penjagaan yang lebih baik, lebih cepat dan berpatutan.
"Ketika kami bangkit kembali daripada wabak ini, IHH tidak akan melupakan matlamat kumpulan untuk menyentuh kehidupan dan mengubah penjagaan, menjaga keselamatan rakyat dan pesakit kami," tambahnya.
IHH ketika mengulas mengenai prospek berkata ia menjangkakan pendapatan daripada perkhidmatan COVID-19 akan berkurangan secara beransur-ansur selepas operasi kembali normal, sementara kos kakitangan meningkat kerana ia sedang mengukuhkan bakat klinikal di seluruh rangkaian perkhidmatan hospitalnya dengan pulangan perniagaan bukan pandemik yang lebih kukuh.
"Kumpulan akan terus mengekalkan disiplin kos dan melaksanakan pengurusan tunai yang aktif, dan yakin bahawa trajektori pertumbuhan jangka panjangnya kekal utuh.
"Ia kekal berdisiplin dalam menyampaikan strateginya, yang berpusat ke arah menjadi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang paling dipercayai di dunia," katanya.
-- BERNAMA
#IHH Healthcare Bhd #keuntungan bersih #Kelvin Loh #rangkaian perkhidmatan hospital