Keuntungan Astro kembali meningkat suku ketiga
Luqman Hariz
Disember 5, 2018 20:09 MYT
Disember 5, 2018 20:09 MYT
Astro Malaysia Holdings Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM153 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2019.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Astro turut mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.4 bilion bagi tempoh yang sama.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, Astro terus mengekalkan daya saingnya dalam keadaan pasaran yang mencabar.
"Dalam landskap media yang sangat kompetitif, Astro terus menjana pengaliran tunai, kekal berdisiplin dalam menguruskan kos dan proaktif dalam merancang modal operasi.,” katanya.
Bagi suku ketiga tahun kewangannya yang berakhir 31 Januari 2019, Astro turut mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 13 peratus kepada RM473 juta, sementara aliran tunai bebasnya (FCF) kekal sihat pada paras RM1.1 bilion.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata peningkatan pendapatan pengiklanan (Adex) yang disaksikan pada suku ketiga menjadi pemangkin penting dalam prestasi positif syarikat tersebut.
“Secara keseluruhannya, kami mencatatkan keputusan suku tahunan yang menggalakkan dengan mengambil kira capaian pasaran yang kukuh di mana ia telah menampakkan peningkatan sebanyak 6% dari tahun ke tahun kepada 5.7 juta pelanggan, atau 76% isi rumah di Malaysia.
“Hal ini membolehkan kami menambah baik peluang perniagaan merentasi kandungan vertikal berbayar, jualan pra-bayar, Adex dan e-Dagang,” katanya.
Dalam suku yang sama, Astro menyaksikan capaian pelanggannya meningkat merentas semua platform – ia mencecah 23 juta penonton televisyen, 16.2 juta pendengar radio seminggu dan 7.3 juta pengunjung unik sebulan di platform digitalnya.
Ia juga menyaksikan peningkatan unit dekoder terhubung sebanyak 37 peratus kepada 963,000 isi rumah, lebih 38 juta tontonan program On Demand serta peningkatan pengguna Astro GO sebanyak 38 peratus kepada 2.1 juta orang.
Manakala di layar perak, filem Paskal The Movie dan Hantu Kak Limah terbitan Astro tahun ini masing-masing berjaya mengutip RM30 juta dan RM38 juta; menandingi filem Hollywood terbaharu iaitu Mission: Impossible - Fallout dan Marvel’s Deadpool 2.
Sementara Netflix juga telah bersetuju membeli hak penyiaran siri drama asal Hong Kong Astro yang pertama, Demon’s Path.
Bergerak ke hadapan, Henry berkata Astro akan kekal fokus dalam mengekalkan daya saingnya untuk suku-suku akan datang.
"Mengambil kira pelbagai cabaran yang dihadapi, kami sedang melakukan penilaian strategik terhadap perniagaan dan struktur organisasi. Hal ini termasuklah merasionalisasikan pengurusan
kos serta mengoptimumkan tenaga kerja, yang akan mencatatkan kos satu kali sahaja dalam beberapa bulan akan datang.
“Inisiatif ini bakal menjadikan kami terus kekal berdaya saing, cekap dan pantas supaya kami dapat meneroka peluang dalam bidang yang berkembang pesat seperti jalur lebar, keahlian dan
ganjaran, penghasilan kandungan premium, Adex dan e-Dagang,” katanya.