Ketua perniagaan Malaysia perlu perkukuh rancangan tenaga kerja

Bernama
Oktober 24, 2012 14:49 MYT
Ketua-ketua perniagaan di Malaysia perlu mengutamakan perancangan tenaga kerja bagi memenuhi cabaran modal insan di masa depan, demikian menurut laporan World of Work Report 2012/2013 Randstad.
Laporan tahun ini mengumpulkan maklum balas dan pandangan 533 orang (termasuk 303 ketua perniagaan) di Malaysia.
Laporan itu merupakan sebahagian daripada kaji selidik tahunan Asia Pasifik Ranstad bagi memahami cabaran modal insan dalam membentuk persekitaran tempat kerja pada hari ini dan di masa depan.
Kaji selidik itu mendapati cabaran modal insan utama bagi ketua-ketua perniagaan di Malaysia ialah menarik tenaga kerja baharu (25 peratus), mengekalkan pekerja yang mencatatkan prestasi baik (20 peratus) dan meningkatkan produktiviti dan prestasi tenaga kerja (17 peratus).
Namun begitu, kira-kira separuh (51 peratus) daripada semua ketua perniagaan di Malaysia mengakui mereka membelanjakan 10 peratus atau kurang daripada jumlah masa perancangan strategik mereka bagi perancangan tenaga kerja masa depan.
Mengulas laporan itu, Pengarah Serantau Asia Pasifik Randstad Sourceright, Doug Edmonds berkata kekurangan perancangan boleh memberi kesan kepada keupayaan sesebuah organisasi untuk menginovasi, meneraju dan berjaya di masa depan.
"Pendekatan jangka panjang yang lebih mantap dan terangkum bagi perancangan tenaga kerja boleh memastikan organisasi memiliki kemahiran yang sesuai.
"Sebagai contoh, dengan 64 peratus pekerja menyasar meningkatkan keupayaan pengurusan pertengahan bagi menambah baik produktiviti dalam tempoh lima tahun akan datang, sekarang adalah masa untuk mula memikirkan tentang perancangan masa depan bagi pengambilan eksekutif, latihan dan pembangunan.
"Juga penting untuk memikirkan tentang opsyen kerja, sistem, proses dan langkah-langkah prestasi yang akan menyokong pengurus-pengurus ini, bagi memastikan kejayaan mereka, dan kesetiaan mereka di masa depan," katanya.
Beliau berkata suatu yang menarik bahawa 74 peratus ketua-ketua perniagaan di Malaysia percaya kekurangan tenaga kerja akan meningkatkan keperluan untuk membuat penyumberan luar sepenuhnya tarikan tenaga kerja dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Randstad ialah satu daripada penyedia perkhidmatan sumber manusia dan pengambilan pekerja terbesar di dunia, dengan operasi Asia Pasifik di Singapura, Malaysia, Hong Kong, China, Australia dan New Zealand.
#Asia Pasifik #Malaysia #tenaga kerja
;