Ketua Audit Negara tegur PTG dan PKENPs
Bernama
November 24, 2015 08:37 MYT
November 24, 2015 08:37 MYT
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) ditegur Ketua Audit Negara kerana ketidakcekapan serta lemah dalam aspek pengurusan dan tindakan.
Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 yang dikeluarkan Isnin menyatakan, kelemahan itu menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian daripada segi kutipan hasil.
Laporan pengauditan PTG antara Februari hingga April 2014 mendapati keseluruhan pengurusan Tanah Rizab Melayu (TRM) memuaskan.
"Daripada segi keluasan TRM masih melebihi 50 peratus daripada keluasan negeri Perlis walaupun PTG didapati tidak serius dalam mewartakan TRM yang dibatalkan atau diganti.
"Sehingga 31 Dis 2013, TRM Perlis berjumlah 37,073 hektar namun 121.37 hektar dibatalkan tetapi cuma 109.62 hektar digantikan. Audit berpendapat TRM yang dibatalkan perlu diganti atau TRM akan berkurangan," menurut laporan itu.
Laporan itu menyebut kelemahan pengurusan TRM yang ditemui dan perlu diberi keutamaan ialah pembatalan TRM belum diganti; geran tanah belum disahkan sebagai TRM; TRM yang dibatal dan diganti belum diwartakan; serta rekod tidak lengkap dan kemas kini.
Pengurusan TRM perlu lebih cekap dan berkesan dan untuk itu PTG disyorkan mempertingkatkan kawalan dalaman terhadap pengurusan TRM membabitkan urusan pembatalan, penggantian, pengesahan dan pewartaan, tambah laporan itu.
PTG juga disaran menambah baik prosedur kerja sedia ada bagi meningkatkan kecekapan pegawai dan mewujudkan pegawai rujukan dalam bidang pengurusan dan perundangan berkaitan TRM.
Pengauditan terhadap PKENPs pada Mac hingga Jun 2014 pula mendapati pengurusan tanah dan bangunan miliknya kurang memuaskan kerana kelemahan seperti tanah terbiar tidak diuruskan; pendapatan/pulangan lewat diperoleh dan projek yang dibangunkan tidak memberi pulangan hasil.
Selain itu pengurusan projek usahasama tidak memuaskan; perjanjian projek pembangunan atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) tidak disediakan; dan pengurusan jualan dan sewaan bangunan kurang memuaskan.
"Bagi memastikan tanah dan bangunan diuruskan dengan cekap dan berkesan, PKENPs disyor mewujudkan bank data tanah dan bangunan yang lengkap dan kemas kini supaya mudah dipantau manakala tanah yang belum dimajukan perlu dipagar dan diletakkan papan tanda larangan menceroboh.
"Kajian pasaran dan kesesuaian lokasi projek juga perlu dibuat bagi mengelak projek tidak dapat dijual atau disewa selepas dibangunkan. Perjanjian sewa dan pembangunan tanah perlu disediakan supaya kepentingan PKENPs terpelihara," tambah laporan itu.
Sehingga 31 Dis 2013, tanah dan tanah pajakan milik PKENPs berjumlah 339.98 ekar iaitu 57 lot tanah dalam 12 mukim manakala bangunan pula meliputi 24 projek rumah kediaman, kedai dan bangunan komersial bernilai RM49.80 juta.
"Jualan hartanah dan penyewaan bangunan adalah antara sumber pendapatan utama PKENPs tetapi sehingga 31 Dis 2013, tunggakan sewa rumah, bangunan komersial/industri dan gerai/kedai berjumlah RM8.83 juta. Usaha mendapatkan tunggakan ini perlu dilaksanakan lebih jelas," tambah laporan itu.
#Ketua Audit Negara 2014
#Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis
#Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis
#tanah rizab Melayu