Ketidaktentuan dasar mengenai 5G boleh jejaskan sentimen - Maybank IB
Dagang News
Januari 7, 2022 13:20 MYT
Januari 7, 2022 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Hasil semakan semula terhadap model borong tunggal bagi pelancaran rangkaian 5G mungkin memberi impak jangka panjang kepada pengendali rangkaian telekomunikasi, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research dalam nota kajiannya.
Pada Disember lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kabinet akan membuat keputusan muktamad mengenai model borong tunggal menjelang Januari 2022 selepas menerima maklum balas daripada syarikat telekomunikasi dan peserta industri.
Buat masa ini, Kabinet masih dalam perbincangan sama ada akan melaksanakan 5G melalui Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) atau mempunyai beberapa sistem bagi membolehkan persaingan.
Penganalisis Maybank IB, Tan Chi Wei berkata, bagaimanapun, dalam tempoh terdekat, ketidaktentuan dasar ini boleh menjejaskan sentimen.
"Apabila kami berpendapat perpindahan ke rangkaian borong 5G tunggal milik kerajaan tidak dapat dielakkan, kementerian mengejutkan pasaran bulan lalu dengan kesediaan untuk menyemak kedudukan 5G, dengan keputusan yang akan dibuat pada bulan ini.
"Ketidaktentuan ini selalunya mencerminkan penggubalan dasar negara berada dalam keadaan yang tidak elok.
"Memandangkan, kerajaan masih bergelut untuk menyelesaikan masalah banjir, kami menjangkakan hasil semakan semula ini mungkin tertangguh lagi," katanya.
Pada 15 Disember lalu, Digital Nasional Bhd. (DNB) mengumumkan rangkaian 5G tersedia di Malaysia dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan YTL Communications Sdn. Bhd. menjadi 2 pengendali telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan itu di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G borong secara percuma kepada semua Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang berintegrasi dengan rangkaian DNB untuk kawasan liputan 5G di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur sehingga 31 Mac 2022.
Menurut Chi Wei, sejak pengumuman tersebut (merujuk kepada kenyataan Annuar Musa), didapati banyak laporan media yang cenderung kepada DNB pada bulan lalu, dengan kebanyakannya menyokong potensi penjimatan kepada pengguna berbanding kekurangan pertindihan sumber dan penempatan luar bandar yang lebih baik.
"Dalam hal ini, kami tidak berpihak kepada sesiapa, tetapi ini bukan perbandingan yang dibuat semata-mata.
"Persoalannya, bukan siapa yang akan melancarkan dan menguruskan rangkaian tunggal 5G dengan lebih baik, sama ada kerajaan (penyediaan kakitangan dan membabitkan kos) atau konsortium telekomunikasi (walaupun berorientasikan keuntungan). Penempatan luar bandar boleh ditampung sebaliknya dengan dana USP," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, katanya, di bawah model diterajui DNB ketika ini, apabila 4G tidak lagi digunakan pada dekad akan datang, syarikat telekomunikasi mudah alih sedia ada akan berubah menjadi pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) atau peruncit, kehilangan nilai pasaran pastinya tidak dapat dielakkan.
DNB pula, katanya, secara teori akan meraih nilai keuntungan, memberi peluang kepada kerajaan untuk menjana kewangan menerusi penyenaraian.
"Oleh itu, nilai secara tidak langsung dipindahkan daripada syarikat telekomunikasi mudah alih sedia ada (sebahagian besarnya dimiliki oleh dana pelaburan berkaitan kerajaan) kepada DNB," tambahnya.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan pilihan utamanya adalah TM dan Axiata Group Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing, RM7.40 dan RM4.50.
Artikel asal di DagangNews.com