Ketidakpastian ekonomi pacu BNM kurang kadar OPR
Astro Awani
Februari 18, 2021 18:56 MYT
Februari 18, 2021 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Ketidakpastian ekonomi dunia berikutan jangkitan COVID-19 dijangka akan memacu Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 25 mata asas (bps).
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun penurunan sebanyak 1.75 peratus itu adalah kadar terendah dalam sejarah negara, namun ia perlu bagi memastikan ekonomi dapat dipacu dengan lebih baik lagi.
Dalam maksud lain, jelas beliau, pengurangan OPR akan menyebabkan kos pinjaman atau pembiayaan akan dikurangkan.
"Justeru, dengan ini, aktiviti ekonomi seperti pelaburan dan pengunaan dapat digalakkan.
"BNM sebenarnya mempunyai fleksibiliti untuk mengurangkan OPR," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata, kadar inflasi keseluruhan Malaysia dijangka meningkat yang disumbangkan oleh peningkatan kos seperti peningkatan harga minyak dan bukannya faktor permintaan.
"Jadi inflasi yang bakal disaksikan pada tahun ini melibatkan faktor kos bukanlah satu inflasi yang begitu sihat.
"Jadi itu sebenarnya membuka ruang untuk pihak BNM untuk mempertimbangkan bagi mengurangkan kadar OPR dalam mesyuarat bulan depan nanti," kata Mohd Afzaniizam lagi.
Pun begitu, ujar beliau, terdapat sedikit perbezaan dari sudut pemberian pinjaman atau pembiayaan kerana ia akan berpandukan pengurusan risiko kredit.
"Apabila bank memberi pinjaman atau pembiayaan kepada perniagaan atau isi rumah, bank akan mengamalkan sistem pemberian kredit yang terangkum pelbagai aspek yang dikenal pasti mengenai risiko kredit yang bakal terlibat," tambahnya.
Menurutnya, BNM juga akan membuat pemantauan rapat bagi memastikan perjalanan sistem perbankan itu.
#Bank Negara Malaysia
#ekonomi
#Bank Islam
#COVID-19
#Inflasi
#kadar dasar semalaman
#Peniagaan
#pinjaman