Kesukaran dapatkan data antara cabaran utama dalam penyelidikan mengenai kewangan Islam
Bernama
Mac 21, 2022 04:49 MYT
Mac 21, 2022 04:49 MYT
KUALA LUMPUR: Ketidakupayaan untuk mengakses maklumat dan data mengenai kewangan Islam dilihat sebagai antara cabaran utama yang dihadapi oleh penyelidik dalam bidang tersebut berikutan sumber yang tidak mencukupi untuk mengemas kini industri dan meningkatkan lagi pertumbuhannya.
Menurut Profesor dan Perunding Monash University Prof Paresh Kumar Narayan berkata ini berikutan kurangnya minat yang ditunjukkan oleh institusi Islam untuk mendedahkan maklumat dan data mereka.
"Mereka (institusi Islam) perlu memberikan akses kepada data untuk kami melakukan penyelidikan yang teguh. Oleh itu, persoalannya, berbanding kewangan konvensional, mengapa institusi kewangan Islam bimbang (untuk mendedahkan maklumat) atau menyembunyikan data mereka?
"Jika institusi kewangan Islam tidak bersedia untuk menyediakan data, langkah itu sendiri memberi tanda tanya mengenai kemampanan kewangan Islam," katanya pada perbincangan panel mengenai "Reimagining Capitalism and the Role of Islamic Finance" pada Global Connect Forum Maybank Islamic Bhd yang pertama secara maya semalam.
Oleh itu, Paresh Kumar berkata antara bidang yang boleh diberi tumpuan oleh pengamal kewangan Islam ialah membangunkan pangkalan data yang boleh didapati berikutan ini akan mewujudkan budaya penyelidikan yang membincangkan mengenai kemampanan industri.
Sependapat dengannya, Naib Presiden Kewangan dan Ketua Pegawai Kewangan Bank Pembangunan Islam Dr Zamir Iqbal berkata industri kewangan Islam berada pada tahap yang ia akan melalui peringkat kekurangan aktiviti dari segi penyelidikan.
"Itu sebabnya orang ramai berasa tiada apa-apa yang baharu daripada industri.
"Jika anda cuba untuk menghasilkan semula beberapa kajian hanya berdasarkan kewangan Islam (tetapi) anda tidak mempunyai data yang boleh didapati, dan walaupun anda mempunyai data, ia tidak tulen atau kadangkala tidak memenuhi tujuan itu," katanya.
Persidangan kepimpinan pemikiran global selama tiga hari secara maya itu, bertemakan "Driving Sustainable Impact Through Islamic Finance" yang bermula semalam bertujuan mengetengahkan strategi untuk syarikat dan organisasi menyesuaikan diri dengan cabaran semasa dan masa depan serta memperkasakan mereka untuk mengambil langkah yang boleh membawa impak jangka panjang yang positif.
-- BERNAMA