Kesatuan Eropah sambut baik kerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan perbankan digital

Bernama
Julai 20, 2022 19:27 MYT
Hahn meluangkan masa bertemu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Marzunisham Omar untuk membincangkan lebih lanjut kerjasama dua hala antara EU dan Malaysia. - Twitter Johannes Hahn
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) terbuka kepada kerjasama strategik dengan Malaysia dalam pembangunan inisiatif perbankan digital dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua pihak.
Pesuruhjaya EU Johannes Hahn berkata sebarang bentuk kerjasama adalah positif dengan cara ia menyumbang kepada lebih ketelusan dan kebolehkesanan tindakan yang boleh mempertingkatkan hubungan antara kedua-dua kerajaan.
"Saya mengalu-alukan semua inisiatif ke arah meningkatkan kesalinghubungan termasuk pembangunan bank digital di Malaysia dan ia harus berdasarkan kepada rangka kerja perundangan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif sempena lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia hari ini.
Terdahulu, Hahn meluangkan masa hampir sejam bertemu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Marzunisham Omar untuk membincangkan lebih lanjut kerjasama dua hala antara EU dan Malaysia.

Productive day in #kualalumpur starting with a constructive and forward looking meeting with Finance Minister @tzafrul_aziz on #NGEU investment opportunities and broader cooperation and initiatives. pic.twitter.com/PiWJAW57Eb

— Johannes Hahn (@JHahnEU) July 20, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Hahn berkata tujuan utama lawatannya adalah untuk membentangkan program terbitan NextGenerationEU, satu inisiatif bon yang dikeluarkan untuk membantu ekonomi EU pulih dan menjadi lebih berdaya tahan menghadapi cabaran global.
"Elemen utama yang dipanggil bon hijau ini adalah untuk melabur dalam inisiatif peralihan hijau untuk menangani kesan perubahan iklim dan untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat. Ia adalah produk yang menarik dan saya ingin melihat Malaysia melabur dalam bon Eropah ini sebagai elemen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan hubungan baik yang terjalin ini," tambahnya.
Mengulas mengenai kesan perang berterusan antara Rusia dan Ukraine terhadap ekonomi dan gangguan rantaian bekalan global, Hahn berkata ia menunjukkan supaya jangan bergantung kepada satu pembekal sahaja dan memberi lebih tumpuan kepada kecekapan tenaga boleh diperbaharui.
Beliau berkata EU sedang menghadapi waktu yang mencabar dengan kenaikan harga tenaga yang telah mencetuskan inflasi yang ketara tetapi EU berusaha bersunggfuh-sungguh untuk membendungnya.
"EU telah pun memperkenalkan dan melancarkan banyak langkah untuk mempelbagaikan bekalan tenaga kita, antaranya adalah meningkatkan import gas asli cecair sebanyak 75 peratus sejak meletusnya perang.
"Kami juga telah mencipta apa yang kami panggil perkongsian tenaga dengan beberapa syarikat dari dalam dan luar Eropah," katanya.
-- BERNAMA
#Kesatuan Eropah #Johannes Hahn #kerjasama digital #Malaysia
;