Kesan neutral ke atas peserta industri jika ECRL dibatalkan - Penganalisis
Bernama
Jun 13, 2018 05:00 MYT
Jun 13, 2018 05:00 MYT
Pembatalan atau penangguhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memberi kesan neutral kepada pelabuhan serta peserta industri penghantaran, menurut penganalisis.
Penganalisis Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Adam Mohamed Rahim berkata ia disebabkan kerumitan kos logistik antara mod perlu ditanggung syarikat yang menggunakan pengangkutan lain seperti trak untuk mengangkut barangan ke kereta api.
"Walaupun, ECRL dikatakan mengambil masa yang lebih pendek untuk mengangkut barangan berbanding hanya menggunakan kapal melepasi Selat Melaka, jumlah kargo menggunakan kapal adalah lebih tinggi berbanding kereta api.
"Contohnya, kapal dari China memunggah muatan di Pelabuhan Kuantan dan kemudian mungkin menggunakan trak untuk memindahkan barangan itu ke kereta api. Kereta api kemudiannya membawa kargo itu ke Pelabuhan Klang dan apabila telah dipunggah, ia memerlukan trak untuk membawa kargo dari kereta api ke pelabuhan.
"Proses ini akan menyebabkan syarikat dikenakan bayaran lebih tinggi berbanding jika menggunakan kapal," katanya.
Secara ringkasnya, beliau berkata adalah lebih baik hanya menggunakan penghantaran langsung menerusi kapal laut daripada mengalami masalah proses memunggah dan memuatkan kargo ke trak dan kereta api.
Baru-baru ini, kerajaan baharu berkata keputusan untuk menangguhkan atau membatalkan projek ECRL bernilai RM55 bilion itu akan diumumkan selepas ia dikaji.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan akan mengkaji dan merundingkan projek tersebut untuk memastikan ia tidak membelanjakan banyak wang bagi ECRL kerana kerajaan tidak mampu berbuat demikian.
Laluan rel sepanjang 688 kilometer, jika dibangunkan, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan dibina mengikut dua fasa.
Berdasarkan anggaran kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional), nisbah penumpang kepada muatan adalah dijangka 30:70.
Menjelang 2030, 53 juta tan kargo dijangka menggunakan perkhidmatan ECRL setiap tahun sebagai pengangkutan utama antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan sebaliknya.
Bagaimanapun, unjuran kargo muatan bagi rangkaian rel itu adalah berbeza daripada jumlah kargo keseluruhan yang bergerak di seluruh laluan kereta api Malaysia apabila setakat 2015, hanya 6.21 juta tan kargo sahaja dibawa oleh kereta api.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis yang enggan namanya diidedahkan berkata, lebih banyak syarikat perkapalan, khususnya yang terlibat dengan kapal kontena - menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia - kini beralih kepada penggunaan kapal kontena lebih besar.
Beliau berkata melihat kepada peralihan itu, kereta api dianggap tidak sesuai untuk membawa kargo besar disebabkan masalah ruang.
Syarikat kapal kontena utama juga ke hadapan dengan menggunakan kapal lebih besar berkapasiti 18,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berbanding 10,000 TEU pada masa sekarang.
"Penggunaan kapal yang lebih besar membolehkan syarikat menggerakkan lebih banyak kargo bagi perjalanan tunggal berbanding menggunakan kereta api atau pengangkutan lain," katanya.
ECRL merupakan satu-satunya projek mega yang tidak dibatalkan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sebaliknya ia akan dikaji lagi oleh kerajaan.
Bagaimanapun ketika taklimat kepada wartawan Malaysia di Tokyo semalam, Dr Mahathir berkata projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak dibatalkan sebaliknya ditangguhkan.
"Ia ditangguhkan, namun pada masa ini kami perlu kaji semula, dan jika kekurangan dana. kami akan tangguhkan pelaksanaannya atau mengurangkan skop projek itu," katanya.
Sebelum ini, dua projek mega pengangkutan utama, iaitu HSR dan MRT Laluan 3 secara rasminya dibatalkan oleh kerajaan untuk mengawal perbelanjaan dan hutang negara.
#Adam Mohamed Rahim
#Barisan Nasional
#HSR
#Laluan Rel Pantai Timur ECRL
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#MRT
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#Tun Dr Mahathir Mohamad