Kesan inflasi makanan yang tinggi gusarkan usahawan PMKS
Rahimah Abdullah
Jun 27, 2022 14:27 MYT
Jun 27, 2022 14:27 MYT
KUALA LUMPUR : Kesan inflasi makanan yang tinggi ketika ini menggusarkan pemain Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang rata-ratanya terlibat dengan industri makanan dan pembuatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro, Abd Azharee Abdul Wahid berkata, masalah berkenaan menyebabkan kenaikan harga bahan mentah yang sekali gus memberi kesan kepada harga produk.
"Agak menggusarkan pemain PMKS sebab yang terlibat akan meningkatkan kos bahan mentah. Kadar inflasi tinggi, maka pengguna akan berhati-hati untuk berbelanja dan ia sekali gus memberi kesan kepada hasil jualan dan aliran tunai.
"Kita sebagai pemain, perlu melakukan perubahan drastik untuk memastikan kesinambungan perniagaan," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Minggu lalu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin mendedahkan, inflasi makanan terus mencatatkan peningkatan ke paras 5.2 peratus pada bulan lalu, tertinggi sejak November 2011, dengan 93 peratus item makanan merekodkan kenaikan.
Abd Azharee berkata, cabaran berkenaan bagaimanapun akan menjadikan pemain PMKS untuk lebih bersikap terbuka dan kreatif dalam memastikan hasil jualan masih relevan di kalangan pengguna.
Namun pemain industri juga perlu memberikan nilai tambah kepada produk agar barangan yang ditawarkan setimpal dengan harga yang ditetapkan.
"Apabila harga naik, pengguna akan tanya kenapa. Kita perlu fikirkan sesuatu yang lebih menarik agar pengguna mahu berbelanja.
"Dengan kenaikan inflasi makanan ini juga memastikan usahawan melakukan anjakan paradigma dalam memastikan kesinambungan perniagaan mereka," ujarnya.