Kes AirAsia contoh ujian getir berniaga di India
Bernama
Jun 4, 2018 05:06 MYT
Jun 4, 2018 05:06 MYT
Menjalankan perniagaan di India bukannya mudah dan terdapat juga banyak risiko.
Syarikat yang tertarik untuk memulakan perniagaan di negara ini kerana upah pekerja yang murah, bagaimanapun kemudiannya berdepan dengan banyak masalah.
Antara kesulitan yang dialami adalah kos infrastruktur yang begitu tinggi, dasar serta prosedur kerajaan dan kesukaran melaksanakan kontrak. Paling parah, sebaik sahaja semua syarat dipenuhi, mereka berdepan pula dengan syarat baru!
Pasaran di India sememangnya besar dan banyak syarikat utama dalam apa juga sektor mudah tertarik untuk menjalankan perniagaan di India.
Lazimnya akan ada anggapan mudah bagi syarikat besar untuk menangani segala kerenah untuk memulakan perniagaan di India berbanding yang bersaiz kecil dan sederhana.
Namun ada masanya keadaan itu tidak berlaku seperti apa yang dialami oleh Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang kini disiasat polis India. Beberapa orang lagi dilaporkan turut disiasat atas dakwaan melanggar peraturan menubuhkan AirAsia India Ltd (AAIL).
Usahasama ini melibatkan syarikat penerbangan bajet terbesar Asia dan Tata Sons, konglomerat terbesar India.
AirAsia Bhd memiliki 49 peratus, kepentingan maksimum yang dibenarkan untuk pelabur asing di bawah undang-undang penerbangan India sementara 49 peratus lagi dipegang Tata sementara bakinya dipegang dua pemegang saham India.
Biro Siasatan Pusat India (CBI) pada 28 Mei memfailkan kes mendakwa Fernandes dan beberapa individu lain melanggar peraturan dalam memperoleh pelbagai permit untuk penubuhan serta pengendalian syarikat penerbangan itu.
Beberapa dakwaan itu memaparkan dakwaan yang dibuat oleh Persekutuan Syarikat Penerbangan India (FIA) yang mewakili syarikat penerbangan tempatan iaitu IndiGo, Jet Airways, SpiceJet dan GoAir, yang membantah kemasukan AirAsia India ke dalam industri penerbangan India.
Ketua parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP), Subramanian Swamy adalah pengkritik lantang usahasama AirAsia India. Beliau menggelarkan syarikat itu sebagai penerbangan "haram" dan memuji agensi penyiasatan India kerana 'tindakan yang diambil ke atas kes itu'.
Pihak berkuasa India iaitu Lembaga Promosi Pelaburan Asing, Ketua Pengarah Penerbangan Awam dan Kementerian Penerbangan Awam mendapati semuanya menepati peraturan untuk membenarkan syarikat penerbangan itu memulakan operasi pada pertengahan 2014.
AirAsia India mencatat pertumbuhan besar dalam tempoh empat tahun beroperasi. Dengan 18 buah pesawat 320 dan rangkaian 19 destinasi meliputi Bengaluru, New Delhi dan Kolkata.
AirAsia India juga merancang untuk melancarkan tawaran saham awal (IPO) dan memulakan penerbangan antarabangsa apabila jumlah pesawatnya bertambah kepada minimum 20 pesawat untuk pasaran domestik.
Menurut satu dakwaan dalam laporan CBI, terdapat usaha melobi untuk menyingkirkan peraturan apa yang dipanggil "5/20" untuk membolehkan AirAsia India memulakan lebih awal operasi penerbangan antarabangsa.
Peraturan itu mewajibkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di India perlu melengkapkan tempoh operasi lima tahun berturut-turut dan mempunyai 20 buah pesawat dalam pasaran domestik sebelum memulakan penerbangan antarabangsa.
Peraturan berkenaan diketahui menjejaskan sektor penerbangan India dan kerajaan memindanya serta beberapa undang-undang lain pada 2016 untuk menjadikan India lebih menarik kepada pelaburan industri penerbangan.
Di bawah peraturan yang dipinda, syarikat penerbangan tidak lagi dikehendaki mempunyai operasi lima tahun tetapi masih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 pesawat untuk penerbangan dalam negeri.
Sebagai pemegang berkepentingan dalam sektor penerbangan India, AirAsia dan pegawai-pegawainya semestinya mempunyai pandangan tersendiri mengenai undang-undang yang mengawal industri penerbangan India.
Terpulang kepada mereka bagaimana melahirkan pandangan itu, sama ada pada persidangan industri atau ketika bermesyuarat dengan pegawai kerajaan.
Sekiranya benar dakwaan pihak berkenaan melanggar undang-undang India, perkara ini mesti dibuktikan dengan jelas.
AirAsia menolak dakwaan dan sebarang cadangan mereka melanggar peraturan.
"AirAsia menafikan dengan sekeras-kerasnya semua tuduhan dan percaya dakwaan ini tidak berasas dan dibuat atas sebab yang masih belum diketahui, " syarikat memberitahu Bursa Malaysia.
"Tindakan undang-undang untuk melindungi AirAsia serta kepentingannya akan diambil ke atas mana-mana pihak yang dengan niat jahat mencetuskan dakwaan ini serta mencemarkan nama baik individu dan pemegang saham AAIL," katanya.
AirAsia tanpa ragu lagi satu jenama global dan begitu juga Kumpulan Tata India. Pastinya syarikat ini tidak akan menjalankan perniagaan yang melanggar peraturan.
Pindaan ke atas peraturan "5/20" serta reformasi lain menunjukkan kerajaan India serius untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan.
Bagaimanapun, langkah untuk mengadakan reformasi mungkin terencat sedikit apabila menteri penerbangan, Pusapati Ashok Gajapathi Raju meletak jawatan selepas Parti Telugu Desam beliau menarik diri dari kerajaan pusat yang diketuai BJP pada Mac lepas.
Reformasi "5/20" itu bukan sahaja memberi manfaat kepada AirAsia India tetapi juga usahasama Singapore Airlines (SIA) iaitu Vistara yang memulakan operasi pada 2013.
Kumpulan Tata memiliki 51 peratus Vistara sementara 49 peratus dipegang oleh pihak Singapura.
Pelancaran kedua-dua syarikat penerbangan ini mempunyai kedudukan kewangan serta kemahiran sedikit sebanyak memulihkan imej sektor penerbangan India yang tercemar akibat kegagalan Kingfisher Airlines milik hartawan arak Vijay Mallya, yang sudah lari meninggalkan India.
Di sebalik potensi pertumbuhan bilangan penumpang, kebanyakan syarikat penerbangan India menghadapi masalah kewangan. Sektor ini masih tidak berapa menarik untuk pelaburan asing.
Tidak ada pihak yang melahirkan minat untuk membeli kepentingan dalam syarikat penerbangan kebangsaan, Air India apabila tawaran ditutup pada 31 Mei lepas.
Kerajaan India bercadang menjual 76 peratus kepentingannya dalam Air India yang meneruskan operasi selepas pakej menyelamat 10 tahun yang diumumkan pada 2012.
Seorang pegawai kanan kerajaan percaya kes AirAsia yang disiasat CBI ini tidak akan menjejaskan proses penjualan saham Air India.
"Saya tak fikir apa yang berlaku akan menjejaskan proses menjual kepentingan Air India," Setiausaha Penerbangan Awam, Rajiv Nayan Choubey memberitahu media India.
Bagaimanapun bukan semua yakin. Pelabur berpotensi sudah tentunya akan memerhatikan bagaimna AirAsia dilayan di India.
-- BERNAMA
#AirAsia
#birokrasi
#bisnes
#India
#Peraturan
#perniagaan
#polis
#risiko perniagaan
#siasatan
#Tony Fernandes