Kerugian PKP 2.0 tidak seteruk PKP tahun lepas - Ahli ekonomi
Astro Awani
Januari 20, 2021 16:35 MYT
Januari 20, 2021 16:35 MYT
KUALA LUMPUR : Kerugian dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dijangka tidak seteruk yang dialami negara ketika mula-mula melaksanakan PKP pada Mac tahun lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Ilias berkata, jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi berbanding tahun lepas.
“Secara keseluruhannya, kami menganggarkan kerugian ekonomi harian lebih kecil di bawah PKP 2.0, sekurang-kurangnya RM0.7 bilion sehari hingga mungkin mencecah RM1 bilion sehari.
“Ia lebih rendah daripada kerugian ekonomi sehingga RM1.5 bilion sehari dalam PKP 1.0, menurut anggaran kami. Ringkasnya, yang dimaksudkan adalah kita mengulangi konsensus dan ramalan rasmi untuk pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tahun ini.
“Kami bersikap konservatif, berhati-hati terhadap pengembangan KDNK sebanyak 5.1 peratus selepas pengurangan KDNK berjumlah 5.4 peratus tahun lalu. Jumlah itu jelas di bawah ramalan sebanyak 6.5 dan 7.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi webinar anjuran Maybank IB membawakan tajuk Market Outlook 2021: Steering Through Volatility pada Rabu.
Dalam sesi sama, Suhaimi berkata pihaknya juga menjangkakan ringgit Malaysia semakin kuat tahun ini dan dolar berterusan menghadapi masalah, sama seperti yang berlaku tahun lepas.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Maybank IB, Nik Mohd Ihsan Raja Abdullah berkata, pasaran saham negara mungkin berdepan situasi sukar apabila ramalan negara merekodkan 8,000 kes COVID-19 sehari pada Mac nanti benar-benar berlaku.
Begitupun, katanya, situasi itu tidaklah sampai meruntuhkan terus pasaran saham Malaysia.
“Kalau bercakap berkaitan pasaran, ia mestilah ada satu faktor yang benar-benar besar yang boleh membuatkan ekonomi runtuh.
“Kalau ada faktor itu berlaku, mungkin ekonomi runtuh boleh berlaku tapi pada masa sekarang, melihat kepada carta, peluang untuk ia berlaku sangatlah tipis.
“Saya tidak fikir pasaran akan runtuh,” ujarnya.
#Maybank
#KDNK
#ringgit
#bank
#ekonomi
#Malaysia
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#darurat
#anggaran
#kerugian