Kerugian forex antara punca untung pracukai Axiata susut
Bernama
Februari 23, 2017 20:11 MYT
Februari 23, 2017 20:11 MYT
Pada 2016, Axiata berkata pelaburan perbelanjaan modal (capex) sebagai peneraju data, khususnya di Malaysia, Indonesia dan Bangladesh menyebabkan penyusutan dan pelunasan aset (D&A) lebih tinggi iaitu sebanyak RM1.5 bilion berbanding 2015, termasuk susut nilai ketara sebanyak RM600 juta.
"Pelaburan dalam portfolio usaha sama digital/Internet kumpulan juga membawa kepada kerugian beberapa syarikat permulaan pada 2016," katanya
Menurut Axiata, pasaran di Asia Selatan terus mencatat prestasi lebih kukuh.
Syarikat Dialog di Sri Lanka misalnya mengekalkan kecemerlangan pada tahun itu, membabitkan semua unit perniagaan dan beroperasi sebagai peneraju pasaran negara berkenaan biarpun berdepan keadaan pasaran yang mencabar.
Ia turut mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 17.3 peratus.
Selain itu, peneraju pasaran Nepal, Ncell mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan sasaran pengambilalihan dengan pertumbuhan hasil data lebih tinggi iaitu pada kadar 2.4 peratus.
Perolehan data juga meningkat sebanyak 70.3 peratus dengan sumbangan data sebanyak 15.9 peratus daripada keseluruhan hasil Ncell, kata Axiata.
Sementara itu, kumpulan itu berkata Axiata Digital Services Sdn Bhd terus mencatat pertumbuhan strategik bagi portfolio aset digitalnya menerusi pelancaran perkhidmatan serta usaha sama, termasuk melabur dalam 30 syarikat digital yang terbabit dalam kewangan, perdagangan, pengiklanan dan 'pemboleh ubah' mudah alih.
Pada 2016, syarikat itu berjaya memperoleh wang menerusi langkah tawaran peruntukan persendirian.
Mengulas prospek masa depan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata bagi 2017, cabaran dalam bentuk persaingan sengit, cukai serta pengawalseliaan kekal ada bagi kumpulan itu.
Ini membabitkan syarikat operasinya, khususnya di Malaysia, Singapura dan India dengan peningkatan capex memberi kesan terhadap prestasi keseluruhan serta keuntungannya.
"Kami berharap kelemahan tukaran asing dan faktor makroekonomi global yang memberi kesan terhadap keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2016, akan mulai stabil pada 2017.
"Pada masa sama, kami juga komited untuk menjadikan 2017 sebagai antara tahun terbaik (kumpulan ini). Kami menyasarkan untuk mencatat prestasi lebih baik, terutamanya di Celcom dan XL Axiata Tbk Indonesia menerusi perubahan perniagaan dan organisasi yang dilakukan baru-baru ini," katanya.
Di Asia Selatan, tanpa mengambil kira perubahan kawal selia, Axiata juga yakin terhadap kemampuan syarikat operasinya meneruskan momentum kecemerlangan prestasi, khususnya bagi tempoh selepas penggabungan Robi dan Ncell, katanya.
"Axiata akan meneruskan pelaburan sejajar usaha transformasinya sebagai sebuah syarikat digital. Kami berharap dapat menyaksikan lebih banyak peningkatan dalam sebahagian besar pasaran kami," katanya.
-- BERNAMA