Kerugian bersih S4 Perdana Petroleum melebar kepada RM261.7 juta

Bernama
Februari 22, 2022 08:30 MYT
Kerugian bersih Perdana Petroleum Bhd melebar kepada RM261.70 juta bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2021 (S4 TK2021) daripada RM18.54 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Perdana Petroleum Bhd melebar kepada RM261.70 juta bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2021 (S4 TK2021) daripada RM18.54 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasilnya meningkat kepada RM50.99 juta berbanding RM36.23 juta pada suku keempat 2020, berikutan kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi pada 51 peratus.
Bagi tempoh 12 bulan terkumpul, kerugian bersih syarikat minyak dan gas itu meningkat kepada RM325.2 juta daripada RM65.84 juta setahun sebelumnya.
Perdana juga mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM160.56 juta berbanding RM208.35 juta dalam tempoh yang sama.
"Penurunan hasil terutamanya disebabkan oleh penggunaan kapal yang lebih rendah pada 49 peratus bagi TK2021 berbanding 53 peratus pada tahun kewangan 2020," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
"Penggunaan kapal yang lebih rendah adalah hasil daripada pesanan kerja yang lebih perlahan atau kontrak yang dianugerahkan daripada syarikat minyak utama."
Mengenai prospeknya, Perdana berkata kumpulan itu kini sedang meninjau untuk memperbaharui armada bagi mengambil kesempatan daripada potensi peningkatan dalam projek pembinaan dan penyelenggaraan luar pesisir yang akan dijalankan oleh syarikat minyak utama.
"Sebagai saluran untuk pertumbuhan pada masa hadapan, Perdana Petroleum kekal optimistik dengan berhati-hati bahawa kami akan mencatatkan keputusan yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Perdana Petroleum berkata industri itu telah mengharungi dua tahun paling mencabar dalam sejarahnya dan lantunan semula harga minyak mentah ke tahap yang lebih mampan boleh membawa kepada prospek yang lebih sihat untuk industri minyak dan gas dalam beberapa bulan akan datang, "pada tahap yang agak tinggi cukup untuk merangsang syarikat minyak utama melaksanakan perbelanjaan modal yang dirancang."
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Perdana Petroleum #kerugian bersih #syarikat minyak dan gas
;