Kerugian bersih Pos Malaysia meningkat kepada RM55.92 juta pada suku kedua

Bernama
Ogos 21, 2024 20:45 MYT
Segmen logistik juga mencatatkan hasil lebih rendah pada RM67.2 juta berbanding RM79.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 meningkat kepada RM55.92 juta daripada RM27 juta kerugian bersih dicatatkan setahun lalu.
Hasil susut kepada RM443.43 juta daripada RM465.20 juta yang sebelumnya disumbangkan oleh pendapatan lebih rendah dalam segmen pos dan logistik.
Bagi separuh kedua 2024, kerugian bersihnya naik kepada RM75.61 juta daripada RM54.67 juta kerugian bersih pada tahun sebelumnya manakala hasil lebih rendah pada RM935.40 juta daripada RM947.47 juta.
Pos Malaysia berkata dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa hasil segmen pos merosot sebanyak 10 peratus disebabkan penurunan dalam jumlah mel pukal yang dikendalikan dan volum antarabangsa lebih rendah pada suku tersebut.
Segmen logistik juga mencatatkan hasil lebih rendah pada RM67.2 juta berbanding RM79.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023.
"Penurunan ini kebanyakannya disebabkan oleh jumlah yang lebih rendah dikendalikan daripada perniagaan automotif dan pengurusan kargo," katanya.
Bagaimanapun, segmen penerbangan menyumbangkan hasil lebih tinggi sebanyak RM88.0 juta berbanding RM73.1 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 kebanyakannya disebabkan oleh perniagaan katering dalam penerbangan dengan jumlah makanan yang lebih tinggi.
"Walaupun hasil yang lebih tinggi, keuntungan sebelum cukai lebih rendah disebabkan kos operasi lebih tinggi yang berkaitan dengan perniagaan pengendalian kargo dan pergudangan e-dagang. Segmen lain terus berkembang dengan sihat dengan peningkatan hasil yang disumbangkan terutamanya daripada peningkatan dalam penjualan sijil digital," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Charles Brewer dalam satu kenyataan berasingan berkata beliau mengaitkan prestasi suku kedua yang lebih lemah daripada dijangkakan kepada persekitaran pasaran mencabar yang berlanjutan khususnya berkaitan segmen bungkusan.
"Walaupun kesukaran yang dihadapi pada suku kedua, Pos Malaysia kekal optimistik tetapi pada masa sama berhati-hati mengenai prestasi kewangan tahunannya dan komited kepada pelan transformasinya termasuk mempercepatkan perniagaan diterajui margin, meneruskan pengurusan kos dan kapasiti serta mengguna teknologi digital," katanya .
Mengenai prospek dalam segmen runcit, Pos Malaysia akan menambah baik perkhidmatannya antaranya Pos Shop, Pos Fulfil, Redly Express dan mencipta pengalaman pelanggan menerusi 'omnichannel'.
Omnichannel adalah pendekatan berpusatkan pelanggan, menyediakan dan mengintegrasikan pengalaman dengan lancar di pelbagai saluran secara dalam talian dan luar talian.
"Bagi segmen logistik, tumpuan kekal pada pengembangan ke segmen industri baharu dan meluaskan bahagian pasaran dalam sektor automotif yang menarik," katanya.
Dalam pada itu, segmen penerbangan pula akan memfokuskan pengembangan domestik dan memanfaatkan usaha sama baru-baru ini dengan SIA Engineering Company Ltd.
-- BERNAMA
#pos malaysia #kerugian bersih #pendapatan #pos dan logistik