Kertas dasar AP dan IP dalam pembangunan, bentang kepada MTEN, Kabinet Oktober ini
Firdaus Azil
Ogos 29, 2023 16:21 MYT
Ogos 29, 2023 16:21 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi sedang membangunkan kertas dasar bagi menilai semula pelaksanaan Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP) yang akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN} dan Kabinet dalam tempoh dua bulan dari sekarang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kajian pembangunan itu telah mengambil masa sekitar lima ke enam bulan sebelum ini bagi membolehkan Kerajaan meneliti perkara berkaitan, tanpa menimbulkan gangguan kepada rangkaian bekalan barangan.
Jelasnya, tujuan utama kertas dasar itu adalah bagi mengurangkan monopoli serta memastikan pasaran lebih berdaya saing dan mampan serta membantu mengawal inflasi.
“Kerajaan akan membuat semakan semula kepada AP dan IP ini bagi menurunkan harga barang khususnya barang import, menambah daya saing bekalan terutamanya bekalan makanan dan membantu meningkatkan kuasa membeli rakyat.
“Ada juga ruang untuk baiki dasar antimonopoli, pastikan pasaran lebih berdaya saing, dan tumpuan ini dengan secara berterusan untuk kita nilai kemampanan setiap sektor dan industri.
"Bersabit dengan makanan, kita berharap dengan meningkatkan persaingan dan kemampanan industri ini, harga barang dan perkhidmatan menjadi lebih berpatutan,” kata Rafizi, kepada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menghapuskan AP dan IP kerana pelaksanaan permit tersebut berlaku di banyak kementerian dan agensi.
“Tujuan kita untuk membuka lebih banyak persaingan dalam pasaran … tetapi dia tak boleh dibuat dengan satu arahan, situasi akan menjadi kelam-kabut.
"Contohnya, kalau ada seorang pemain monopoli pasaran, tiba-tiba anda tutup, adakah ada pemain lain nak bawa masuk (barangan itu)?
“Tapi kalau monopoli terdiri daripada dua atau tiga pemain sahaja, mereka mungkin perlukan masa untuk sedikit peralihan ke arah pasaran terbuka.
“Kita nak suntik lebih banyak persaingan. Jadi, dengan AP dan IP dikurangkan, saya harap dipermudahkan sebaiknya bagi membolehkan harga import juga turun.
"Bila harga import turun, ia (diharap) membantu menurunkan harga barangan tertentu,” tambahnya.