Kerjasama SME Bank, TM dan Commerce.Asia bantu usahawan dalam transformasi digital
Astro Awani
Mei 2, 2019 10:57 MYT
Mei 2, 2019 10:57 MYT
Menuju ke arah Revolusi Industri 4.0, usahawan memerlukan bimbingan dalam mengadaptasi dan mentransformasi ke pasaran digital.
Menyedari pentingnya perkara ini, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) akan memberi peluang kepada usahawan untuk meneroka pasaran digital melalui kerjasama bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Commerce.Asia selepas menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) pada Selasa.
Antara tujuannya adalah supaya SME Bank dapat mewujudkan Platform Digital PKS Kebangsaan, terutamanya untuk menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan perusahaan mikro dan kecil.
Menuju ke masa depan digital, kerjasama ini turut memberikan SME Bank akses kepada infrastruktur dan perkhidmatan digital TM agar dapat mencari penyelesaian digital untuk keperluan pembiayaan PKS.
“Platform Digital PKS Kebangsaan ini merupakan satu usaha SME Bank yang menyeluruh dan merupakan penyelesaian untuk SME Bank menjadi peneraju dalam ekosistem PKS yang berteraskan gelombang Revolusi Industri 4.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dalam satu kenyataan.
Para usahawan turut mendapat manfaat menerusi akses kepada sambungan internet berkelajuan tinggi, lalu dapat meneroka pasaran yang lebih besar serta mencari peluang dengan lebih luas.
Selain itu, pakar digital seperti saintis data dan arkitek program daripada pihak TM juga akan terlibat untuk membimbing usahawan PKS dalam transformasi digital mereka.
“Peluang untuk membantu dan membimbing ribuan perusahaan kecil dan mikro baru dan akhirnya maju bersama mereka telah lama menjadi aspirasi TM,” kata Pemangku Naib Presiden Eksekutif Unifi, Moharmustaqeem Mohammed.
Tambah beliau, “Seiring dengan sumbangan PKS dalam memacu ekonomi negara, penyelesaian digital kami akan membolehkan para usahawan ini meningkatkan pencapaian dan memangkin pertumbuhan perniagaan mereka.”
Kerjasama dengan Commerce.Asia pula memberi SME Bank akses kepada lebih 700,000 pangkalan data usahawan PKS di Malaysia serta kepada ekosistem teknologi e-dagang yang lengkap.
Ini membolehkan SME Bank mengukuhkan keupayaan Platform Digital KPS Kebangsaan di samping menggunakan perkhidmatan Kepintaran Buatan (AI) untuk menganalisis prestasi PKS.
Kata Pengerusi Eksekutif Commerce.Asia, Ganesh Kumar Bangah, “Ekosistem e-dagang Commerce.Asia mempunyai 5,000 penjual aktif yang memproses jualan sebanyak RM400 juta pada tahun lepas.
“Kerjasama ini akan membantu usahawan yang telah mempunyai pembiayaan memajukan lagi perniagaan mereka di samping menyediakan akses pembiayaan dan teknologi e-dagang kepada 700,000 PKS dalam pangkalan data kami.”
Kerjasama ini dijangka dapat meningkat daya saing usahawan tempatan sekaligus melonjakkan perniagaan mereka ke pasaran digital di peringkat antarabangsa.
Aria menjelaskan lagi, “Kami mahu menjadi peneraju dalam pembangunan PKS tempatan. Dengan Platform Digital PKS Kebangsaan ini, ia akan mengubah cara PKS dibantu dan dibangunkan. Inisiatif ini dijangka akan memacu sumbangan PKS terhadap ekonomi negara.”
#business
#Commerce Asia
#digital
#finance
#Industrial 4 0
#MoU
#Revolusi Industrial
#SME Bank
#Telekom
#usahawan