'Kerjasama penting untuk jayakan pertumbuhan ekonomi global' - Tengku Zafrul
Faida Rahim
Januari 13, 2023 17:12 MYT
Januari 13, 2023 17:12 MYT
JAKARTA: Penting untuk kembali mengingatkan dunia untuk bekerjasama dalam menjayakan pertumbuhan ekonomi global, kelestarian seterusnya membasmi kemiskinan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau memaklumkan kerjasama ini perlu dilaksanakan demi pemulihan pasca pandemik, tekanan inflasi dan konflik geopolitik yang mengancam kestabilan ekonomi dunia.
“Agenda ini terlalu besar untuk mana-mana satu negara jayakan, jadi kerjasama itu perlu.
“Namun realitinya, kita hidup dalam keadaan “fragmented” iaitu berpecah-belah kerana ideologi, saling tidak mempercayai dan banyak lagi.
“Kepercayaan harus dibina semula. Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka dan berdagang perlu komited membangunkan kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai aspirasi sama,” katanya ketika ditemui di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Beliau berkata, MITI termasuk agensi utama MIDA, InvestKL melakukan persiapan sempurna sebelum bertemu beberapa pemain industri teknologi, pembuatan, pengilangan, perubatan dan peruncitan antarabangsa.
“Kita ada platform khusus yang disediakan iaitu Malaysia House di Davos, dimana agensi kerajaan dan syarikat swasta berada di bawah satu bumbung mempromosi dan mengatur pertemuan dengan syarikat-syarikat antarabangsa.
“Ini merupakan satu strategi baru untuk membina sinergi antara pihak kerajaan dan swasta di Malaysia untuk bekerjasama mempromosi dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem pelaburan di Malaysia yang inklusif di mana peranan Kerajaan adalah selaku pemudahcara atau fasilitator,” katanya.
Tegas beliau, Malaysia juga sedang berusaha memberi mesej jelas kepada dunia bahawa pihak Kerajaan dan swasta bersedia menerima pelaburan dan terbuka bekerjasama secara strategik membawa ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.