Kerjasama MYDIN-GOLOG manfaat platform pintar logistik edar produk sejuk beku
Fareez Azman
Januari 13, 2023 17:11 MYT
Januari 13, 2023 17:11 MYT
SEREMBAN: Rangkaian pemborong dan peruncit terbesar tempatan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat logistik tempatan Golog GoBuilders Sdn Bhd (GOLOG) menerusi penggunaan platform pintar logisitik rangkaian sejuk beku pertama di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, menerusi penggunaan platform itu dengan trak pintar GOLOG ia dapat memperluaskan pasaran produknya ke luar bandar selain mengurangkan kos penghantaran.
"Saya rasa pada akhirnya, kita nak memberi manfaat kepada negara, saya bukan ahli politik tetapi ini yang paling penting untuk memberinya kembali kepada rakyat.
"Kos sara hidup makin meningkat ketika ini, jadi jika kita dapat mengurangkan kos, ini lebih baik untuk perniagaan yang lebih baik, apabila perniagaan lebih baik ia membawa kepada pendapatan yang lebih," katanya.
Mengulas lanjut ujarnya, menerusi penggunaan trak pintar itu, barangan keperluan harian boleh dihantar ke mana-mana destinasi dengan harga yang lebih murah berbanding menggunakan trak logistik sendiri.
Selain produk dari MYDIN, menerusi platform itu juga ujarnya, memudahkan pengeluar produk pertanian, penternakan dan makanan laut dari seluruh negara untuk menjual produk mereka ke rangkaian MYDIN berhampiran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas GOLOG, Ivan Chin Wen Hau memaklumkan menerusi platform pintar GOLOG, platform berkenaan berfungsi seperti khidmat e-hailing di negara ini.
Perbezaannya hanya melibatkan perkhidmatan penghantaran rantaian sejuk beku menerusi trak dilengkapi peti sejuk.
"Menerusi perkhidmatan ini, kita dapat selesaikan masalah 'loose carton', masalah tidak menggunakan ruangan sepenuhnya dalam trak penghantaran.
"Ketika ini, banyak trak penghantaran yang mana apabila mereka selesai menghantar pakej di destinasi tertentu, apabila pulang trak mereka tiada muatan.
"Jadi menerusi perkhidmatan ini, mereka boleh mendapatkan pendapatan yang lebih dengan memuatkan barangan lain untuk dihantar ke destinasi tertentu apabila pulang," katanya.
Tambah Ivan, ketika ini kira-kira 30 syarikat logistik melibatkan lebih 1,000 trak penghantaran pelbagai kapasiti telah menggunakan perkhidmatan itu.
Namun pihaknya menjangkakan angka terbabit akan bertambah dari semasa ke semasa.
Dari sudut pusat penyimpanan pula, GOLOG ketika ini jelas Ivan mempunyai lapan pusat penyimpanan rantaian sejuk di lapan negeri dan dijangka meningkat kepada 16 pusat pada tahun ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian MoU yang disempurnakannya dan Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin sambil disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Pasaraya Besar MYDIN di Seremban 2 di sini pada Jumaat.