Kerjasama MCMC-Microsoft teroka manfaat industri AI

Bernama
Jun 21, 2024 12:10 MYT
Fahmi (tiga, kiri) menyempurnakan Majlis Peluncuran MCMC Microsoft AI Teach: Skills for AI-enabled Economy dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara MCMC dan Microsoft Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Microsoft Malaysia bagi menjalinkan kerjasama strategik untuk meneroka manfaat industri kecerdasan buatan (AI).
Kerjasama tersebut ditandatangani Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman dengan disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada majlis pelancaran program MCMC-Microsoft AI TEAC, di sini semalam.
Menerusi MoU itu, MCMC dan Microsoft Malaysia akan bekerjasama untuk meneroka manfaat sosioekonomi AI, termasuk usaha mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital.
Selain itu, kerjasama antara dua entiti berkenaan juga akan menyaksikan penerimagunaan perisian Microsoft oleh pihak MCMC bagi merintis penggunaan AI, serta pendekatan kepada penerimagunaan AI yang bertanggungjawab.
Program MCMC-Microsoft AI TEACH mengandungi empat modul utama iaitu Pengenalan kepada AI, Pengenalan kepada AI Janaan, Penggunaan AI untuk Meningkatkan Kebolehpasaran dan Penggunaan Beretika untuk AI.
Menerusi program MCMC-Microsoft AI TEACH, seramai 1,600 ahli komuniti berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) khususnya golongan rentan akan menerima latihan dan pensijilan dalam kemahiran AI selepas mengikuti kelas secara fizikal selama dua hari.
Program itu akan membantu meningkatkan kebolehpasaran peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pada program prapelancaran yang berlangsung awal Jun sebelum ini, seramai 151 peserta mengambil bahagian dan berjaya menamatkan latihan.
Chong Li Ping, seorang daripada peserta MCMC- Microsoft AI TEACH yang berjaya menamatkan latihan itu, berkata program tersebut membantunya menguasai penggunaan aplikasi berteraskan teknologi AI.
Sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan berkerusi roda, Chong yang berkhidmat dalam bidang perkeranian berkata latihan yang ditawarkan itu memudahkan beliau melaksanakan tugas dengan lebih efisien.
"Saya belajar banyak mengenai aplikasi Copilot, Microsoft Sway, dan ia membantu saya dalam bahagian kerja saya, dan juga saya boleh membantu kawan-kawan saya dalam kerja-kerja, atau OKU lain yang ingin belajar," katanya.
Bagi peserta bengkel kedua MCMC-Microsoft AI TEACH, Anselm Ong Li-Zin, 29, beliau menyertai program itu untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang digital dan AI, selain mencari peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan.
Katanya program itu sedikit sebanyak membuka ruang mencari pekerjaan dalam bidang baharu selepas beliau berhenti bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan pesawat kerana faktor kesihatan.
Pelatih bidang sains data Rosini Murugesh, 24, berkata program itu meningkatkan lagi pengetahuan serta kemahiran menggunakan teknologi AI dan digital khususnya dalam proses menganalisis data, selain membantunya menyediakan modul latihan kepada pelajar.
-- BERNAMA
#Mohamad Salim Fateh Din #OKU #MCMC #Microsoft
;