Kerjasama GSA, TF-CWASM dijangka beri impak kepada industri aeroangkasa
Astro Awani
Februari 23, 2024 20:51 MYT
Februari 23, 2024 20:51 MYT
KUALA LUMPUR: Global Systemes Asia (GSA) dan Transfingo Group (TF-CWASM) menjalin kerjasama yang berupaya memberi impak positif kepada masa depan aeroangkasa di rantau ini.
Kerjasama tersebut dimeterai semasa Pameran dan Pertunjukan Udara Singapura 2024, yang akan mempamerkan kepintaran Malaysia dan kepakaran Singapura dalam menghimpunkan kekuatan serantau.
Menurut Pengendali dan Perancang GSA, Datuk Nonee Ashirin, kerjasama tersebut turut dijangka memberikan impak transformatif terhadap industri aeroangkasa.
"Kerjasama ini meletakkan TFM-CWAS dan sekutunya, Transfingo (Malaysia) Sdn. Bhd., Transfingo Aviation Solutions Pte. Ltd. dan CW Aero Services Pte Ltd (CWAS), sebagai pembekal kejuruteraan dan peralatan ujian berinovatif tinggi, serta perwakilan MRO, untuk GSA dan anak syarikatnya, Global Component Asia Sdn. Bhd. (GCA) dan Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA)," kata GSA dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Pengasas dan Pengarah Transfingo Group, Kelvin Chung menambah, "Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan GSA dan kami akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dalam industri penerbangan."
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, di mana perkongsian strategik tersebut menggariskan penanda aras dalam keupayaan pertahanan dan kolaborasi antarabangsa.