Kerjasama ekonomi: Sesebuah negara bebas tentukan dasar, tanpa ikut telunjuk - PM
Harits Asyraf Hasnan
November 14, 2024 08:30 MYT
November 14, 2024 08:30 MYT
LIMA, PERU: Sesebuah negara harus bebas menentukan dasar yang terbaik demi kepentingan negara, tanpa ikut telunjuk kepada mana-mana pihak luar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, kehendak dan keperluan rakyat merupakan asas utama dalam merangka dasar negara, terutama dalam hubungan perdagangan dan ekonomi.
“Kita tidak boleh tunduk pada mana-mana pihak dalam menentukan polisi kita. Sebaliknya, kita perlu berpandukan pada apa yang terbaik untuk negara kita, berpandukan aspirasi rakyat sendiri,” tegas beliau pada sesi meja bulat bersama kapten industri dari Malaysia dan Peru di luar Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW), di sini.
Pada masa sama, Anwar menekankan, walaupun Amerika Syarikat merupakan pelabur utama di Malaysia, China masih menjadi rakan dagang terbesar sejak 15 tahun lalu.
“Malaysia bekerjasama secara efektif dalam pelbagai bidang dan inilah haluan masa hadapan kita,” ulas Anwar, memberi indikasi Malaysia sebagai sebuah kuasa tengah dan terbuka dalam kerjasama ekonomi.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Perdana Menteri turut menegaskan keperluan untuk memperluaskan jalinan kerjasama Malaysia dengan negara-negara Selatan Global.
Menurutnya, usaha ini mampu membuka peluang baharu yang besar serta memanfaatkan potensi ekonomi yang belum diteroka di rantau ini.
“Kita perlu mengalihkan fokus sedikit daripada hanya mengutamakan rakan kongsi tradisional dan melihat potensi serta peluang baharu dengan Selatan Global,” kata beliau lagi.
Sejurus selesai sesi meja bulat itu, Anwar melancarkan Taman Solar Matarani milik Yinson Holdings Bhd di Peru.
Yinson Renewables telah menyelesaikan pengambilalihan Projek Solar Matarani berkapasiti 97 MWp di Peru daripada Grenergy Renewables, sebuah syarikat pengeluar tenaga bebas antarabangsa, pemaju, dan syarikat kejuruteraan, perolehan, serta pembinaan (EPC) yang mempunyai rekod cemerlang di Amerika Latin.
Projek ini terletak di padang pasir Mollendo di wilayah Arequipa, salah satu kawasan dengan sinaran matahari tertinggi di dunia.
Sebahagian besar tenaga daripada projek ini telah dikontrakkan melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan pembeli yang dipercayai untuk tempoh 15 tahun akan datang.
Projek Matarani baru-baru ini memulakan operasi komersial, menyuntik kira-kira 260 GWh tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid Peru setiap tahun, cukup untuk memenuhi keperluan tenaga kira-kira 62,000 isi rumah di Peru dan mengelakkan pelepasan lebih daripada 56,000 tan karbon dioksida setiap tahun.