KUALA LUMPUR: TA Securities optimis terhadap jalinan kerjasama di antara Telekom Malaysia Bhd (TM) bersama Singapore Telecommunications Ltd (Singtel) bagi mewujudkan pusat data medan hijau di Iskandar Puteri, Johor kerana ia akan mengukuhkan keududukan TM sebagai peneraju dalam landskap pusat data di negara ini.
Katanya, sehingga kini TM memiliki tujuh pusat data di seluruh Malaysia dan menerusi kerjasama itu, kumpulan itu boleh memanfaatkan kepakaran Nxera bagi membangunkan pusat data terkini.
Firma penyelidikan itu berkata, TM akan terus memanfaatkan kekuatan daya saing terasnya, termasuk kabel dasar laut dan gentian optiknya yang luas, yang penting untuk pembangunan pusat data.
"Secara keseluruhannya, kami percaya kerjasama itu mempunyai kelebihan daya saing yang kukuh untuk meriah permintaan dan peluang yang semakin meningkat daripada generasi seterusnya penyedia aplikasi kecerdasan uatan (AI) dan syarikat multinasional.
"Berdasarkan peratusan pegangan saham awal TM sebanyak 51%, kumpulan itu akan menyuntik kira-kira RM588 juta ke dalam kerjasama itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
TA Securities berkata, dengan pelaburan awal sebanyak RM1.2 bilion, pusat data medan hijau yang dicadangkan itu akan dilengkapi dengan ketumpatan kuasa tinggi dan menampilkan teknologi canggih seperti penyejukan cecair serta keupayaan pengkomputeran termaju.
Katanya, bangunan empat tingkat itu direka untuk 64 megawatt (MW) dan boleh ditingkatkan sehingga 200MW berdasarkan permintaan pasaran.
"Pusat data itu dijangka menjadi kemudahan Tahap 3 yang didayakan awan dan ia dijangka beroperasi pada 2026," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM7.70 berbanding RM7.18 sesaham sebelum ini. - DagangNews.com