Kerjasama Astro AWANI-Dagangnews.com bentuk Malaysia ke arah negara keusahawanan
Najib Aroff
Disember 1, 2021 08:00 MYT
Disember 1, 2021 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Saluran berita dan hal ehwal semasa nombor satu di Malaysia, Astro AWANI dan portal Dagangnews.com membentuk kerjasama strategik sebagai usaha memperhebat penyediaan kandungan berita perniagaan, keusahawanan dan korporat.
Idea membentuk kerjasama strategik ini muncul selepas diskusi dan tinjauan bersama sekumpulan peniaga mikro dan usahawan online yang mencadangkan agar ilmu dan maklumat berkaitan perniagaan diberi keutamaan dalam pemberitaan.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail berkata segmen DagangNews.com meluaskan lagi perspektif kandungan program berita Niaga AWANI yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi di saluran 501 dan laporan berita di portal astroawani.com
"Melihat kepada peningkatan minat pembaca dan penonton terhadap kandungan dunia perniagaan dan keusahawanan terutama anak-anak muda, ia mendorong kami membina kerjasama strategik dengan 'media start-up' yang berkongsi hala tuju dan aspirasi besar untuk membina Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Keusahawanan’ seperti Dagangnews.com," kata Ashwad ketika mengulas mengenai kolaborasi kedua-dua syarikat itu, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun portal berita ini `masih baharu’, tetapi sidang editorialnya ditunjangi wartawan berita ekonomi yang berpengalaman.
Sementara itu, Pengarang Urusan DagangNews.com, Johardy Ibrahim berkata pihaknya mengalu-alukan kolaborasi dengan Astro AWANI yang merupakan stesen berita terbesar di Malaysia.
Malah, kata beliau, kerjasama yang diistilahkan sebagai `menang-menang’ itu adalah seiring dengan pelan perniagaan tiga tahun syarikat itu yang baru ditubuhkan pada Jun 2020.
"Sebenarnya, DagangNews.com pernah berkolaborasi dengan TV Sarawak, juga sebagai penyedia kandungan pada tahun lalu dan pengalaman tersebut menjadi pemangkin kepada kami untuk bekerja dengan Astro AWANI kali ini," katanya.
Menurutnya, fokus DagangNews.com sebagai platform berita perniagaan dan korporat di dalam Bahasa Malaysia walaupun berdepan persaingan sengit daripada media berbahasa Inggeris, namun dalam tempoh setahun setengah mampu meraih bilangan pembaca yang memberangsangkan.