Kerjasama antarabangsa perlu dipertingkatkan perangi keganasan - deklarasi APEC

Bernama
November 19, 2015 23:56 MYT
Para pemimpin 21 negara anggota APEC mengutuk keras semua tindakan keganasan dan menegaskan kerjasama antarabangsa perlu dipertingkatkan segera untuk memeranginya.
Para pemimpin 21 negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengutuk keras semua tindakan keganasan dan menegaskan kerjasama antarabangsa perlu dipertingkatkan segera untuk memeranginya.
"Dibayangi oleh serangan pengganas di Paris, Beirut, dan ke atas pesawat Rusia di Sinai, dan di tempat-tempat lain, kami mengutuk keras semua tindakan, kaedah, dan amalan keganasan dalam segala bentuk dan manifestasinya.
"Kami menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kerjasama dan perpaduan antarabangsa dalam memerangi keganasan," kata para pemimpin dalam satu Deklarasi yang dikeluarkan pada pada akhir Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin selama dua hari yang menyaksikan kawalan keselamatan diperketatkan di ibu kota Filipina itu selepas serangan keganasan di Paris pada Jumaat lepas yang
mengorbankan 129 nyawa.
Presiden Filipina Benigno S.Aquino III mempengerusikan sidang kemuncak itu yang bertemakan, "Building Inclusive Economies, Building a Better World" (Membina Ekonomi Inklusif, Membina Dunia Yang Lebih Baik".
Para pemimpin APEC juga berkata, ia tidak akan membiarkan keganasan menjejaskan nilai-nilai asas yang mendukung ekonomi bebas dan terbuka rantau ini.
"Pertumbuhan ekonomi, kemakmuran dan peluang merupakan antara alat paling berkuasa untuk menangani punca-punca keganasan dan tindakan radikal," kata para pemimpin.
Antara lainnya, para pemimpin APEC berkata mereka terus bersatu teguh dalam menyokong persekitaran yang terbuka, boleh diramal, berasaskan peraturan dan telus bagi perdagangan dan pelaburan yang menyediakan akses bermakna kepada peluang ekonomi.
"Ini menyediakan kaedah terbaik bagi mencatatkan pertumbuhan inklusif dan berterusan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan kestabilan pasaran kewangan.
"Kami menegaskan komitmen untuk membina bersama sebuah ekonomi terbuka di Asia Pasifik yang berasaskan kepada pembangunan inovatif, pertumbuhan saling hubungan dan kepentingan bersama," kata para pemimpin.
Mereka menekankan kepada nilai, keutamaan sistem dagangan pelbagai hala di bawah naungan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan komited bagi mengukuhkan sistem dagangan pelbagai hala yang inklusif, terbuka, tanpa diskriminasi, telus dan berasaskan peraturan.
Mereka juga mengesahkan komitmen mereka sebelum ini mengenai dasar monetari dan kadar pertukaran.
"Kami tidak akan menyokong penurunan nilai kompetitif dan menentang segala bentuk fahaman perlindungan," kata para pemimpin dalam deklarasi itu.
Mereka turut mengulangi komitmen untuk mencapai Matlamat Bogor bagi perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka menjelang 2020 dan kelaknya merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.
Menyedari pembangunan perkhidmatan termasuk melaksanakan kecekapan memerlukan pendekatan strategik, para pemimpin juga menerima pakai Rangka Kerja Kerjasama Perkhidmatan APEC (ASCF).
Antara lainnya, mereka bersetuju membangunkan Pelan Hala Tuju Daya Saing Perkhidmatan APEC yang strategik dan berjangka panjang pada 2016 dengan penerimaan pakai tindakan serta sasaran yang dipersetujui bersama untuk dicapai menjelang 2025.
"Proses mendraf pelan hala tuju akan bermula dengan perbincangan mengenai elemennya diikuti perbincangan mengenai tindakan dan sasaran yang dipersetujui bersama," kata para pemimpin.
Pelan hala tuju itu akan termasuk meluaskan pembabitan pelbagai pemegang kepentingan menerusi Pusat Pengetahuan Maya bagi Perkhidmatan APEC - platform perkongsian pengetahuan maya bagi maklumat dan amalan terbaik dasar dan program berkaitan perkhidmatan APEC.
APEC dianggotai 21 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong-China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Pada 2014, ekonomi APEC menyumbang 40 peratus daripada penduduk dunia, 57 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia (US$44.1 bilion), 48.5 peratus daripada perdagangan dunia (US$18.5 bilion) dan 53.1 peratus daripada aliran masuk pelaburan langsung asing global (US$652 bilion).
#APEC #keganasan
;