Kerja penyelenggaraan, pembaikan turut terbabit kenaikan cukai perkhidmatan
Dagang News
Februari 27, 2024 14:00 MYT
Februari 27, 2024 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam langkah mengejut, kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan cukai perkhidmatan sebanyak 6% — yang akan dinaikkan kepada 8% pada 1 Mac — merangkumi hampir semua jenis pekerjaan penyelenggaraan dan pembaikan (M&R), sementara perkhidmatan logistik tertentu diberi pengecualian.
Menurut warta kerajaan Persekutuan mengenai pindaan kepada peraturan cukai perkhidmatan yang disiarkan di laman web Jabatan Peguam Negara pada Jumaat lepas (23 Feb), cukai perkhidmatan akan dikenakan ke atas perkhidmatan M&R mulai Isnin (26 Feb).
Kemasukan mendadak perkhidmatan M&R sebagai perkhidmatan bercukai ini disertai dengan pelbagai kemasukan lain yang diumumkan sebelum ini, iaitu perkhidmatan pembrokeran, pengunderaitan, karaoke dan logistik.
Tetapi kadar cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik — bersama dengan penyediaan makanan dan minuman (F&B), telekomunikasi, tempat letak kereta, kad kredit atau perkhidmatan kad caj — akan kekal pada 6% apabila cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 8% menjelang 1 Mac.
Cukai akan dikenakan kepada semua perkhidmatan logistik kecuali yang melibatkan eksport, import, barangan dalam transit dan F&B oleh kedai makan atau katerer — termasuk F&B yang dijual melalui platform e-dagang.
Pengarah eksekutif firma penasihat cukai bebas TRATAX Sdn Bhd Thenesh Kannaa berkata cukai perkhidmatan akan dikenakan ke atas semua perkhidmatan M&R pada masa hadapan, kecuali dua pengecualian.
Dua pengecualian itu ialah perkhidmatan berkaitan penyelenggaraan bangunan kediaman dan perkhidmatan M&R perbadanan pengurusan bersama (JMC), seperti caj penyelenggaraan bangunan.
Memandangkan kemasukan perkhidmatan M&R meliputi julat yang luas, Thenesh menyatakan bahawa langkah itu akan memberi "impak yang luas".
Menurutnya, cukai perkhidmatan sebelum ini hanya dikenakan ke atas perkhidmatan M&R bagi kerja pembaikan motor dan penyelenggaraan ad hoc ke atas aset yang dilindungi di bawah kontrak pengurusan penyelenggaraan.
"Sekarang, jika anda memanggil seseorang untuk menservis penghawa dingin anda, itu akan dikenakan cukai perkhidmatan," katanya sebagai contoh perkhidmatan M&R bercukai. - Dagang News