Kereta pertama ASEAN dikeluarkan dalam tempoh 20 bulan lagi - MITI
Bernama
Oktober 1, 2015 15:54 MYT
Oktober 1, 2015 15:54 MYT
Proton Holdings Bhd, yang mungkin bekerjasama dengan sebuah atau lebih pengeluar kereta China bagi projek kereta ASEAN, dijangka mengeluarkan produk pertamanya dalam tempoh 20 bulan lagi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Proton ketika ini sedang berunding dengan beberapa syarikat automobil di China termasuk pengeluar kereta Geely.
"Keadaan semakin positif. Mereka menyatakan mereka memerlukan masa 20 bulan daripada sekarang untuk membina kilang dan mengeluarkan kereta pertama," katanya pada taklimat media selepas melancarkan Kempen Produktiviti, di sini, hari ini.
Kempen itu bertujuan memupuk budaya produktiviti dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda kerana ia merupakan aset penting bagi pembangunan dan kemajuan negara.
Ong berkata perkongsian ini akan membolehkan Malaysia memanfaatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kukuh China, yang seterusnya menambah baik kereta Proton dan membolehkan syarikat tersebut mengeluarkan model kompetitif bagi pasaran ASEAN.
Menurutnya, sektor automotif serantau menawarkan potensi besar memandangkan penduduk yang ramai, peningkatan golongan kelas pertengahan dan kuasa membeli kukuh.
"Kita mesti bertindak pantas untuk merebut pasaran. Jika kita boleh menghasilkan kereta untuk pasaran ini, ia akan menjadi sangat bermanfaat memandangkan terdapat pelbagai perjanjian perdagangan bebas serantau," katanya.
Mengenai pelancaran Laporan Daya Saing Global 2015-2016 baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia meningkat dua tangga ke kedudukan ke-18 daripada 140 negara, Ong berkata ini jelas membuktikan asas ekonomi kukuh Malaysia.
Beliau berkata terdapat 12 bahagian penilaian kepada indeks itu, termasuk prasarana, pasaran kewangan dan pendidikan.
"Berdasarkan fakta dan angka, asas ekonomi kita adalah kukuh, bagaimanapun, kita kurang dari segi persepsi.
"Bagi membetulkan keadaan ini, setiap orang, daripada pemimpin hinggalah kepada rakyat, perlu berganding bahu untuk membina semula keyakinan terhadap ekonomi kita," katanya.