'Kereta nasional bakal terima kesan' - Tun M
Astro Awani
Februari 28, 2013 19:11 MYT
Februari 28, 2013 19:11 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, cadangan kerajaan untuk memotong duti import bagi model kereta dari Jepun dan Australia mampu memberi kesan kepada penjualan kereta nasional.
Beliau yang juga penasihat proton berkata, walaupun ia tidak membunuh industri kereta tempatan, ia mampu memberi cabaran untuk bersaing dengan kereta import.
Tegas beliau, Proton dikhuatiri akan paling terjejas jika cadangan itu dilaksanakan.
Jelasnya ketika ini, industri kereta nasional masih memiliki perlindungan bagi memastikan ia dapat bersaing dengan pengeluaran kereta-kereta import.
Dr Mahathir berkata demikian dalam satu sidang media semasa melawat Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).