Kerajaan umum projek ECRL diteruskan
Astro Awani
April 12, 2019 15:00 MYT
April 12, 2019 15:00 MYT
Kerajaan mengumumkan Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) diteruskan dengan pengurangan sebanyak RM21.5 bilion dari kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kos itu dikurangkan kepada RM44 bilion dari kos asalnya berjumlah RM65.5 bilion.
Jelas kenyataan itu, pengurangan berkenaan akan memberi manfaat dan meringankan beban kewangan negara.
"Kerajaan mengalu-alukan penandatanganan Perjanjian Tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Co Ltd (CCCC) yang akan membuka jalan bagi penyambungan semula projek ECRL.
"Ia meliputi perolehan, pembinaan dan pentauliahan ( EPCC) aspek ECRL telah dicapai selepas rundingan antara syarikat yang terlibat serta Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China.
"Butiran lebih lanjut akan diberikan semasa sidang media pada Isnin," jelas kenyataan itu.
Projek ECRL sepanjang 688.3 kilometer itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan akan dibangunkan dalam dua fasa.
Portal South China Morning Post melaporkan, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berada di Beijing untuk membuat rundingan.
Dalam sidang media di Kedutaan Malaysia di Beijing, Daim berkata, jarak rel akan dikurangkan sebanyak 40 kilometer dengan kos pembinaan setiap kilometer bernilai RM68 juta berbanding RM98 juta sebelum ini.
Hentian di Gombak akan dihapuskan, laluan ECRL bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya-Pelabuhan Klang, kata Daim.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jumlah hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam tempoh 30 tahun akan datang lebih besar berbanding jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kontraktor projek ECRL sekiranya projek itu diteruskan.
Menurutnya, kos pelaksanaan projek ECRL mungkin melebihi RM100 bilion dan ia membebankan kerajaan.
Kos baharu ECRL RM44b lebih mudah diuruskan oleh kerajaan dan dapat kurangkan beban faedah yang akan dibayar. Butiran lanjut mengenai kaedah pembayaran akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin ini - Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin
Sehubungan itu katanya, kerajaan terpaksa meneliti semula perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu untuk projek berkenaan.
#Beijing
#berita bisnes
#CCC
#CCCC
#CEP
#China Communications Construction Co Ltd
#Daim Zainuddin
#ECRL
#Majlis Penasihat Kerajaan
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Pantai Timur
#Pengkalan Kubor
#projek infrastruktur
#Republik Rakyat China