Kerajaan tumpu cipta peluang pekerjaan, bantu usahawan - Tengku Zafrul

Bernama
Februari 15, 2022 07:00 MYT
Tengku Zafrul berkata kerajaan sentiasa responsif dalam memastikan seluruh Keluarga Malaysia dan komuniti perniagaan disokong sebaik mungkin. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan kepada dua teras utama iaitu mencipta peluang pekerjaan dan membantu usahawan untuk berkembang bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun ini, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata dua teras itu adalah mencipta 600,000 peluang pekerjaan bagi memulihkan pendapatan Keluarga Malaysia yang terjejas melalui inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion serta membantu komuniti usahawan untuk berkembang melalui inisiatif SemarakNiaga bernilai RM40 bilion.
"Kerajaan juga akan memantau rapi sebarang tekanan inflasi terutamanya ke atas barangan makanan, dan memastikan langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan rakyat terhadap kelangsungan hidup mereka," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani bertajuk 'Ketahanan Ekonomi Keluarga Malaysia' terbitan Astro AWANI, pada Selasa.
Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan dan kerajaan sentiasa responsif dalam memastikan seluruh Keluarga Malaysia dan komuniti perniagaan disokong sebaik mungkin terutamanya dalam memperkukuhkan pemulihan ekonomi negara yang semakin jelas.
Menurutnya pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2021 sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020, mencerminkan keberkesanan langkah segera kerajaan melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion.
"Peningkatan tersebut juga adalah melalui kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini terus diperkukuh dengan pemberian dos penggalak, dan diperluaskan kepada kanak-kanak, serta Pelan Pemulihan Negara yang sistematik di mana semua negeri telah berjaya beralih ke Fasa 4, dan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan.
"Dari segi pertumbuhan sektor, yang paling cemerlang adalah sektor pembuatan yang mana mencecah hampir 10 peratus, diikuti dengan sektor perkhidmatan (+1.9 peratus), sektor perlombongan dan pengkuarian (+0.7 peratus) dan termasuklah sektor-sektor lain juga menunjukkan kadar penguncupan yang lebih rendah, jelas menggambarkan pemulihan yang menyeluruh bagi negara," tambahnya.
Tengku Zafrul berkata kadar pengangguran juga telah menurun kepada 4.2 peratus pada akhir Disember 2021 (berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020).
Ini jelas menunjukkan inisiatif kerajaan berkesan dalam usaha mencipta pekerjaan, disokong oleh jumlah perdagangan luar yang telah mencecah lebih RM2 trilion serta pelaburan langsung asing bersih yang melebihi RM50 bilion pada 2021.
"Ini menunjukkan perkembangan yang baik, walaupun unjuran Kementerian (bagi kadar pengangguran) adalah 4 peratus," katanya.
"Jadi, dengan semua inisiatif dan perancangan yang dibuat dalam Bajet 2022, kita mengunjurkan bahawa KDNK akan bertumbuh antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.
"Bajet 2022 merupakan bajet terbesar kita dengan peruntukan berjumlah RM332.5 bilion. Ini mencerminkan komitmen kerajaan yang tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia serta kelangsungan perniagaan melalui dasar fiskal yang mengembang," katanya.
Beliau berkata Kementerian Kewangan dan kerajaan akan terus memastikan sokongan yang berterusan supaya ekonomi kekal di landasan pemulihan yang kukuh.
"Namun, penyediaan peruntukan dan langkah-langkah sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan keberkesanan dan penyampaian inisiatif Bajet 2022.
"Untuk itu, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan prestasi pelbagai inisiatif Bajet 2022, dan akan juga mencadangkan penyelesaian dan intervensi yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna Bajet 2022," tambahnya lagi.
Maklumat lanjut bagi inisiatif JaminKerja boleh didapati di https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/jaminkerja.html
-- BERNAMA
#Tengku Zafrul #peluang pekerjaan #JaminKerja #COVID-19
;