Kerajaan tidak pernah gagal bayar hutang ikut jadual ditetapkan

Bernama
Disember 23, 2020 09:26 MYT
Kementerian Kewangan turut melakukan beberapa strategi bagi meningkatkan hasil negara termasuk memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan terkurang lapor, pengisytiharan serta ketirisan cukai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini tidak pernah gagal membayar hutang mengikut jadual-jadual yang telah ditetapkan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata kemampuan itu didorong oleh keupayaan negara bagi memastikan usaha terbabit dapat ditunaikan sebagaimana yang dirancangkan.
"Kita (Malaysia) tidak ada masalah untuk membuat bayaran khidmat hutang kerana mempunyai keupayaan dalam memastikan segala perancangan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan, diatur sebaik mungkin.
"Ini (penting) bagi memastikan ianya turut memberi impak terhadap belanjawan tahunan, khususnya bagi tahun 2021 ini," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shahar turut menegaskan bahawa Belanjawan 2021 itu telah dirangka berdasarkan keupayaan kerajaan membuat kutipan hasil.
Malah, katanya, Kementerian Kewangan yakin usaha itu dapat dijalankan walaupun dalam keadaan kemelesetan ekonomi berikutan penularan pandemik COVID-19.
"(Walaupun) ada pengurangan hasil pendapatan, kita masih mempunyai keyakinan bahawa (kutipan) hasil yang diunjurkan adalah lebih baik iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus," katanya.
Menurut Mohd Shahar, Kementerian Kewangan turut melakukan beberapa strategi bagi meningkatkan hasil negara termasuk memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan terkurang lapor, pengisytiharan serta ketirisan cukai.
Selain itu, kerajaan akan turut menambah baik pentadbiran cukai melalui pengurusan data yang berkesan dan menyepadukan maklumat terbabit dengan agensi-agensi berkaitan, kata beliau.
-- BERNAMA
#Mohd Shahar Abdullah #Kementerian Kewangan #RUU Perbekalan 2021 #Dewan Negara #COVID-19 #ketirisan cukai #ekonomi