Kerajaan tidak bercadang untuk laksana tambatan ringgit

Astro Awani
Ogos 8, 2015 12:00 MYT
Kerajaan menjangka ringgit akan stabil berdasarkan hakikat asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh.
Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi menangani penyusutannya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata kerajaan menjangka ringgit akan stabil berdasarkan hakikat asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh.
"Saya fikir (ringgit) akan stabil berdasarkan semua kajian kami, lagipun asas ekonomi negara ketika ini kukuh," katanya, pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini, Sabtu.
Ahmad Husni berkata demikian ketika diminta mengulas saranan pihak tertentu supaya ringgit ditambat untuk menangani penyusutan nilai berikutan harga minyak jatuh di bawah paras US$50 setong (kira-kira RM200).
Beliau berkata, pergerakan harga minyak yang dilihat sekarang sebahagian besarnya daripada pengukuhan dolar yang turut mempengaruhi mata wang serantau seperti dolar Singapura dan rupiah Indonesia.
Menurutnya, pergerakan mata wang berdasarkan dua perkara iaitu asas ekonomi dan sentimen.
"Asas ekonomi kita sangat kukuh manakala sentimen tidak akan menjejaskan negara ini.
"Ketika ini, kesemua mata wang menyusut berbanding dolar Amerika," ujarnya.
Ringgit terus mencatat aliran harga menurun dan ditutup rendah berbanding dolar Amerika pada Jumaat dengan 3.9220/9250, berbanding 3.9005/9035 pada khamis.
Pada Jumaat, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar memaklumkan, sistem perbankan tempatan dan aktiviti ekonomi masih mantap bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, negara masih berada di landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar anara 4.5 peratus dan 5.5 peratus tahun ini, biarpun keadaan ringgit masih lemah.
#dolar #ekonomi #harga minyak #Husni Hanadzlah #mata wang #ringgit