Kerajaan tidak bercadang tambat ringgit - Zafrul
Astro Awani
September 21, 2022 16:26 MYT
September 21, 2022 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit memandangkan langkah itu akan mengundang risiko kepada ekonomi negara, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan, langkah menambat ringgit akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi memandangkan kadar faedah negara perlu mencerminkan dasar monetari negara mata wang yang ditambat.
"Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.
"Jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS.
"Langkah tambatan matawang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal.
"Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd.
Sehingga kini, Rizab Persekutuan AS telah meningkatkan 225 mata asas kadar faedahnya dan ia dijangka akan menaikkan lagi 75 mata asas hingga 100 mata asas hari ini.