Kerajaan tamatkan perlantikan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas
Malik Ridhwan
Mac 11, 2016 18:36 MYT
Mac 11, 2016 18:36 MYT
Kabinet hari ini telah mengumumkan khidmat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petronas ditamatkan.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Dr Mahathir tidak wajar memegang jawatan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan selepas beliau tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada.
Keputusan dibuat susulan tindakan bekas perdana menteri itu melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada 4 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara.
Beliau dilantik sebagai Penasihat Petronas selepas mengumumkan persaraannya sebagai perdana menteri pada 2003.
Pada Disember 2013, Tun Mahathir telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan beliau agar terus memegang jawatan sebagai Penasihat Petronas.