Kerajaan sentiasa kenal pasti ikhtiar baharu pastikan Malaysia destinasi pelaburan - PM Anwar

Bernama
Februari 13, 2025 14:35 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mengenal pasti ikhtiar baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata antara ikhtiar yang menarik minat pelabur ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mendapat sambutan sangat baik bukan sahaja dari Singapura malah juga negara luar.
"Kemudian, perancangan kita dengan Thailand supaya memastikan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu bersama dengan empat wilayah selatan Thailand dibangunkan.
"Kita ada dua mesyuarat, dan 18 Februari ini saya ada satu pertemuan untuk merangka supaya pertumbuhan (di negeri dan wilayah) itu juga berlaku," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.
Beliau berkata demikian bagi soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai usaha dan insentif kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #destinasi pelaburan #Perdana Menteri
;