Kerajaan sedang rangka Indeks Kos Hidup - Guan Eng

Wan Syamsul Amly
Jun 27, 2019 11:46 MYT
GUAN ENG: Kerajaan juga sedang memantau kos-kos hidup dengan membendung tingkah laku monopoli. - Gambar BERNAMA
Kerajaan kini sedang merangka Indeks Kos Hidup (IKH) untuk memperlengkap kewujudan Indeks Harga Pengguna (IHP).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia sekali gus pengurusan menangani tekanan hidup dan kos tinggi yang ditanggung rakyat hari ini.
"Kerajaan juga sedang memantau kos-kos hidup dengan membendung tingkah laku monopoli. Mungkin kejayaan terbesar adalah yang berkait dengan perkhidmatan jalur lebar di mana, kelajuannya telah dipertingkatkan bagi ramai pengguna pada harga berpatutan.
"Perkhidmatan jalur lebar yang boleh dipercayai, murah dan laju akan menjadi kunci kepada usaha melonjakkan pendigitalan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada Konsultasi Belanjawan 2020 di sini, pada Khamis.
Program itu bertemakan 'Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi'.
Majlis Konsultasi merupakan platform interaksi antara Kerajaan dan sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran semasa serta langkah menanganinya.
Lebih 304 wakil sektor swasta, kementerian dan agensi serta antarabangsa hadir pada program berkenaan.
Dalam pada itu kata Guan Eng, kerajaan juga sedang menilai dan merangka pelan baharu bagi 500,000 golongan muda Malaysia mendapatkan pekerjaan menerusi pelbagai program.
Jelasnya, ia inisiatif penting sejak kadar pengangguran belia meningkat kepada 10.9 peratus pada 2018 berbanding 9.9 peratus pada 2011.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam laporan yang dikeluarkan pada Rabu memberitahu, IHP yang mengukur inflasi teras, meningkat 0.2 peratus pada Mei kepada 121.4 berbanding 121.1 bagi tempoh sama tahun lepas.
Menurutnya, kumpulan pertama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+1.8 peratus), minuman alkohol dan tembakau (+1.3 peratus), pendidikan (+1.2 peratus), restoran dan hotel (+0.6 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+0.5 peratus).
Bagi perbandingan bulanan, IHP menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding April 2019.
#air #API #Belia #ekonomi #hotel #IHP #menteri #NGO #pendidikan #perangkawan #rakyat #rumah
;