Kerajaan sasar pembangunan enam pelabuhan dalam agenda transformasi negara

Azyyati Ahmad
September 3, 2016 13:52 MYT
Liow Tiong Lai ditemui selepas berucap di Persidangan Dialog Perdagangan Malaysia-China: One Belt One Road Initiative (OBOR) yang berlangsung di Wisma MCA pada Sabtu. - Foto Bernama
Kerajaan mensasarkan pembangunan di enam pelabuhan dalam agenda transformasi negara bagi memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan negara China.
Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kerajaan juga berhasrat untuk membuka lebih banyak pelabuhan dalam rangka melebarkan kerjasama tersebut.
"Kita yakin dari segi agenda transformasi negara, kita telah mencapai satu tahap yang cukup baik dengan adanya kerjasama dengan 11 pelabuhan negara China ke atas enam pelabuhan negara.
“Pelabuhan bukan sahaja bagi urusan import dan eksport tetapi mampu menjadi bandar kedua atau bandar ketiga yang dilihat sebagai satu pembangunan hartanah yang boleh menjana ekonomi negara,” katanya selepas berucap di Persidangan Dialog Perdagangan Malaysia-China: One Belt One Road Initiative (OBOR) yang berlangsung di Wisma MCA di sini hari ini.
Jelas beliau, enam perlabuhan terbabit adalah Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Melaka, Pelabuhan Tanjung Lepas-Pasir Gudang, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Bintulu.
Katanya, kerajaan juga mengalu-alukan pembinaan terminal ketiga oleh China di Pelabuhan Klang, bagi mencapai kapasiti pengendalian kargo tahunan sebanyak 16.3 juta TEU menjelang tahun 2020.
Persidangan kali kedua yang diadakan ini, menghimpunkan usahawan dari kedua-dua negara bagi meneroka peluang komersil dalam menjalin hubungan perdagangan lebih dekat.
Liow berkata, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak tahun 2009, manakala Malaysia adalah rakan perdagangan terbesar China dalam ASEAN.
"Saya yakin bahawa OBOR akan membawa momentum baru kepada hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam mencapai jumlah dagangan sebanyak US$160 bilion (RM654 bilion) menjelang 2017," katanya.
Persidangan ini yang dianjurkan bersama oleh Kerjasama Pusat Ekonomi China (CECC) akan memfokuskan kepada empat tema iaitu kewangan, perdagangan dan pelaburan; infrastruktur dan logistik; e-dagang dan industri hijau serta produk pertanian dan pensijilan halal.
Sebanyak 120 syarikat Malaysia dan 62 syarikat China akan mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan yang dianjur sebagai sebahagian daripada dialog.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Muda Jabatan Perhubungan Antarabangsa China, Li Jun dan Naib Presiden CECC, Wu Baocai.
Pada persidangan pertama tahun lalu yang dihadiri oleh 160 ahli perniagaan Malaysia di Beijing, tujuh memorandum, yang terdiri daripada pembangunan kereta api, sarang burung dan perdagangan durian, telah ditandatangani antara Malaysia dan China.
#China #Liow Tiong Lai #Malaysia #OBOR #One Belt One Road Initiative
;